Pages

Monday, 21 January 2013

BN PERLU FOKUS 70 KERUSI KRITIKAL

MENANG TIPIS ATAU KALAH TIPIS
Barisan Nasional (BN) perlu memfokus ke atas 70 kerusi, yang menyaksikan perbezaan tipis pada Pilihan Raya Umum 2008, jika perikatan mahu mendapatkan kembali majoriti dua pertiga di Parlimen kali ini.

Tujuh puluh kerusi itu adalah kawasan di mana BN menang tipis atau kalah tipis lima tahun yang lalu.

Kerusi-kerusi itu juga menjadi tumpuan pembangkang dalam usahanya melebarkan sayap ke Putrajaya.

PRU13 disebut-sebut akan diadakan akhir Mac ini. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, PRU13 peringkat persekutuan perlu diadakan menjelang akhir Jun ini.

Sehubungan itu, Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, BN perlu cukup teliti dalam meletakkan barisan calon di kerusi-kerusi kritikal dan mengatur strategi secara berkesan supaya kekecewaan 2008 dapat ditebus kembali dengan kemenangan pada PRU13, yang dilabel sebagai 'ibu segala pilihan raya'.

“Jadi calon-calon yang dipilih kali ini bukan sahaja calon mesti menang, dari segi totalnya mereka mesti bersih sebersih-bersihnya. Putih seputih-putihnya.

“Sebab itu calon mesti tepat. Mesti yang tidak membawa beban yang boleh membebankan parti, membebankan parti, membebankan Barisan Nasional, membebankan pucuk pimpinan.

"Mereka mesti telus, bersih, betul-betul suci daripada sebarang masalah untuk hendak bertanding kali ini. (Jika tidak) seluruh parti akan merasa kesannya,”  kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Menyifatkan pertarungan PRU13 amat sengit saingannya, Abdul Aziz berkata, program transformasi dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjaya menyentuh hati rakyat secara keseluruhannya.

Meskipun begitu katanya, cabaran besar tetap menanti BN dalam mengatur langkah di 70 kawasan kritikal yang menjadi penentu kemenangan besar parti itu di mana usaha berlipat kali ganda perlu dilakukan supaya ia tidak terlepas ke tangan pembangkang.

“Sasaran yang menjadi rebutan, 70 kawasan Parlimen itu. Jadi gerak geri strategi Barisan Nasional mesti tertumpu kepada penembusan 70 kawasan itu untuk menentukan mereka menang di situ. Kerana memang benar, jika tidak ada gerak kerja, yang benar-benar mantap,
70 kerusi ini akan menjadi medan yang kabur yang boleh menyebelahi sana atau Barisan Nasional.

“Jadi cara yang benar-benar tepat ialah orang yang hendak menjadi calon di situ, mesti tepat dan pada masa yang sama, program pembangunan di  70 kawasan ini mesti lebih mantap untuk ditentukan oleh pihak kerajaan sedia ada sekarang ini,” ujar beliau.

Akhir November lalu, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menjangkakan BN akan memperoleh 120 kerusi jika diadakan November lalu, sementara 24 kerusi  dalam keadaan “kelabu”.

Beliau juga mengakui bahawa walaupun keputusan kali ini akan memperlihatkan majoriti mengecil tetapi kemenangan masih akan memihak kepada BN.
Empat tahun lalu, BN memperoleh 140 kerusi, manakala pembangkang 84. Ia pencapaian terburuk dalam sejarah BN.
Berdasarkan statistik semasa, BN memiliki 137 kerusi, manakala PKR (23), DAP (29), Pas (22) dan Parti Sosialis Malaysia (satu), Bebas (lapan) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (satu). Satu kerusi kosong.

Sementara Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff sebelum ini pernah meramalkan BN hanya selamat di 96 kerusi manakala PR pula selesa dengan 68 kerusi sementara selebihnya akan menjadi perebutan di antara kedua-dua perikatan itu.

Jangkaan itu juga bermaksud, BN dan PR berhadapan dengan kemerosotan berbanding kerusi dimenangi empat tahun lalu.

Namun Najib, selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 buat kali pertama menyatakan keyakinan BN akan menang dengan majoriti dua pertiga dalam PRU13 jika tiada unsur sabotaj.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...