Pages

Wednesday, 31 October 2012

SKIM GAJI PENJAWAT AWAM YANG BARU MULAI 2013

KENAIKAN TAHUNAN SEHINGGA 5 PERATUS
Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Mohamad Zaidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Omar Kaseh.

Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.

Ali berkata pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepada kerajaan pada akhir tahun ini.

"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka memenangi anugerah Inovasi Sektor Awam dalam kategori Teknologi Maklumat dan Teknologi ICT manakala Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah menerima Anugerah dalam kategori Pentadbiran Daerah dan Tanah.

Semua pemenang anugerah menerima sebuah Trofi dan juga cek bernilai RM300,000.- Bernama

AKHIR-AKHIR INI PERDANA MENTERI BANYAK MENYEBUT TENTANG ISLAM

MOGA ISTERI PM JUGA AKAN BERUBAH
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak kini dalam setiap ucapannya banyak menyentuh tentang perlunya pemerintah dan pemimpin berpegang kepada ajaran Islam. Isu yang paling banyak disentuh tentang kewajipan pemerintah dan pemimpin menunaikan janji dan keperluan membayar hutang. Kata-kata munafik jika tidak tunaikan janji dan wajib tunaikan hutang kerap disebut dalam setiap ucapan yang dihadirinya semasa bertemu rakyat.
“Bila kami janji, Islam menuntut kami menepati janji yang dibuat. Jadi bila janji, kami akan tepati janji kami, " kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Padang Nenas di Kuala Terengganu yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said serta pemimpin negeri.

“Dalam Islam sendiri, kita diwajibkan menunaikan janji yang dibuat tanpa mengira fahaman politik sama ada Barisan Nasional atau tidak kira sesiapa.

“Jika kami tidak menunaikan janji, kami adalah munafik dan Barisan Nasional adalah kerajaan yang berpegang pada prinsip yang mana setiap janji yang dibuat mesti ditepati....kerajaan sentiasa berusaha menepati janji yang dibuat kepada rakyat bagi memastikan kesejahteraan hidup mereka terjamin, " katanya.

Berikutan itu 'Janji Ditepati' sama sekali tidak merupakan retorik politik sebaliknya ia berlandaskan kepada tuntutan agama.

Perdana Menteri menegaskan tema ini berpaksikan kepada rukun agama. "Kita (BN) berjuang untuk tepati janji kepada rakyat. Kita akan tepati janji kita untuk beri kepercayaan pada rakyat. Kita mahu membuktikan negara kita adalah negara Islam contoh."
Najib berkata dalam Islam jika setiap janji itu tidak dikotakan ia boleh dianggap sebagai munafik.

Ketika berucap merasmikan Perhimpunan Penternak, Peladang dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah di Pantai Merdeka Perdana Menteri menyifatkan cadangan PR mahu memansuhkan hutang jika berjaya menawan Putrajaya akan membuatkan ekonomi negara lumpuh.

Katanya, selain cadangan pembangkang itu dan pelan mahu menghapuskan tol, menaikkan gaji minimum pekerja dan mengurangkan harga minyak, boleh membuatkan ekonomi merudum.

“Kalau ekonomi kita merudum, golongan penternak, nelayan dan petani tidak akan mendapat subsidi, tidak akan mendapat insentif dari kerajaan sebab hasinya juga akan merudum.

“Saya katakan perkara ini sebab saya sebagai Menteri  Kewangan saya amat faham,” katanya.
Najib menambah, “mengendalikan urusan kerajaan bukanlah sesuatu yang mudah dalam bentuk kita boleh ikut suka hati kita menyedapkan telinga pengundi semata-mata.”

Malah, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, tindakan PR untuk memansuhkan hutang bukanlah mengikut ajaran Islam.

“Walhal dalam Islam kalau kita meninggal dunia, wajib kita lunaskan hutang. Kalau kita tak sempat, waris-waris kita kena lunaskan.

“Sebab, kalau kita mati tanpa melunaskan hutang, berat pada roh kita nanti, berat seksa nanti. Tetapi pembangkang senang-senang kata hapuskan hutang. Ini bukan ajaran Islam,” katanya.

Najib berkata, ajaran Islam mendidik manusia pada jalan yang benar dan betul.

Jika betul apa yang diucapkan Perdana Menteri ianya adalah satu perubahan dan sebagai rakyat tentunya berharap Perdana Menteri dapat menepati janji perjanjian antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas yang dibuat pada 1975 serta mengutip hutang-hutang dan kerugian berbilion ringgit yang telah dibuat  oleh mereka yang menerajui MAS,NFC,Perwaja steel,PKFZ termasuk sumbangan 40 juta untuk tabung UMNO Sabah adakah ianya juga mengikut cara ajaran islam.

APA LAGI NAK DI KATA BAGI 20 PERSEN PUN TAK NAK

ROYALTI MINYAK
Pemimpin Umno Sabah Datuk Seri Shafie Apdal berkata, tawaran royalti minyak 20 peratus kepada negeri itu yang dibuat pembangkang tidak dapat diterima walaupun menarik, demi perkongsian kemakmuran negara.

"Saya datang dari Sabah, rakyat Malaysia. Siapa yang tak mahu (royalti 20 peratus) tetapi kita sedar, (dan) tahu perkongsian mesti ada," katanya yang juga naib presiden Umno.

Menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu sebaliknya menyifatkan tawaran Pakatan Rakyat melalui ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai usaha memecahbelahkan rakyat Malaysia.

"Anwar datang ke Sabah dia dakwa kalau kita (Pakatan) perintah dia bagi 20 peratus royalti minyak.

"Hendak dapatkan undi pun janganlah pecah-belahkan rakyat," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Risda dan Jabatan Kemajuan Orang Asli di Kuala Lumpur hari ini.

Pakatan Rakyat menawarkan bayaran royalti minyak 20 peratus kepada pengundi Sabah semenjak pilihan raya umum 2008.

Anwar sendiri berulang kali mengulangi janji untuk meningkatkan bayaran royalti itu yang didakwa tidak adil kepada Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebelum ini dilapor menyifatkan janji itu tidak logik.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Musa dilaporkan berkata wang hasil minyak Sabah disalurkan semula ke negeri itu melalui perbelanjaan oleh kerajaan persekutuan.

Tuesday, 30 October 2012

FILEM KONTROVERSI TANDA PUTERA DI PAWAGAM 2013

TIADA TAYANGAN TAHUN INI
Filem kontroversi Tanda Putera yang dikritik hebat pembangkang ditangguh lagi untuk kali kedua ke tahun depan, kata pengarahnya Datuk Shuhaimi Baba.

"Tiada tayangan (kerana tarikh) 15 November ini ia dibatalkan.
"Tarikh baru hanya pada tahun 2013 dan tiada lagi slot untuk tahun ini," kata Shuhaimi melalui SMS kepada Malaysiakini ketika diminta mengesahkan khabar angin penangguhan itu.

NONEBeliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Naguib Razak atau setiausaha kementerian penerangan Datuk Kamaruddin Siaraf untuk menjelaskannya.

"Paling baik jika perkara ini dirujuk kepada ketua pengarah Finas, Encik Naguib Razak atau setiausaha Datuk Kamaruddin untuk (lebih jelas) alasan (penangguhan)," katanya.

Naguib sewaktu dihubungi menerusi pembantunya bagaimanapun enggan memberi sebarang maklum balas kerana "buat masa ini jadualnya agak padat dengan mesyuarat".

Tayangan eksklusif di UiTM
Tanda Putera, yang kontroversi dengan adegan 13 Mei, pada asalnya dijadual untuk tayangan bermula 13 September sebelum ditunda kepada 15 November atas alasan kekurangan promosi.

Filem sejarah itu memaparkan kisah perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.

NONEMenelan belanja RM4.8 juta, ia diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama FINAS.

Pakatan Rakyat sebelum ini mendesak satu pratonton dibuat untuk menilai jika terdapat elemen perkauman dalam filem itu.

Namun, hasrat itu tidak diteruskan apabila penerbit hanya bersetuju melakukan pratonton jika Pakatan bersetuju membiayai kosnya.

Shuhaimi turut dilaporkan menolak alasan bahang pilihan raya umum menyebabkan Tanda Putera ditangguhkan dahulu.

Bagaimanapun, Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijadual mengadakan tayangan eksklusif filem itu pada 8 November ini di kampusnya di Shah Alam.

MENTERI PUN TUNJUK MUKA BILA PERDANA MENTERI ADA

MP TUNJUK MUKA
Sekalipun Pakatan Rakyat menambah suara Melayu dalam parlimen, tidak semua mereka yang mampu berhujah dalam perbahasan dalam Dewan Rakyat, kata Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapha Mohamed.

"Memang banyak orang Melayu dalam Pakatan ini berbanding kami (Umno) tetapi kebanyakannya mereka ini, hanya tunjuk muka.
"Mereka diakui mempunyai banyak pemimpin Melayu, namun banyak sahaja pun tidak guna kalau tidak bersuara," katanya dipetik dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

parliament pc jeyakumar and mustapha 171208 04Beliau yang juga ahli majlis tertinggi Umno turut menafikan kekurangan ahli parlimen dari parti itu selepas pilihan raya umum ke-12 tidak menunjukkan parti itu kurang lantang dalam menyuarakan hak orang Melayu di Parlimen.

Menurutnya yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Umno adalah parti utama yang sering membela nasib orang Melayu sejak dahulu lagi.

Mustapha yang juga ahli parlimen Jeli mengulas dakwaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bahawa kemenangan Pakatan pada pilihan raya umum lalu adalah bukti kemampuan menambah suara orang Melayu dalam Parlimen berbanding BN.

Akhbar itu turut melaporkan pakar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Azmi Hassan sebagai berkata kemenangan calon Melayu dalam Pakatan tidak boleh dinilai daripada aspek kualiti kerana kebanyakan calon pembangkang didakwa hanya "bidan terjun".

"Bagi saya ini hanya permainan statistik, bukan keupayaan sebenar calon Pakatan... Saya melihat, pemilihan calon Melayu dalam Pakatan juga agak tempang hingga menyebabkan kredibiliti Pakatan terjejas.

"Kualiti ahli parlimen Melayu dalam Pakatan amat rendah kerana mereka tidak boleh memimpin, apa lagi untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu," katanya dipetik dari akhbar yang sama.
SUMBER 

TAUFAN SANDY - BENCANA ALAM MENERJAH AMERIKA SYARIKAT

RAMAI TERKORBAN
Pertembungan dua lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan hampir menenggelamkan kotaraya New York dan Sandy adalah taufan yang paling digeruni dalam sejarah Amerika Syarikat.
 
Sandy yang mulai membadai telah menyebabkan sebahagian besar kawasan rendah di Manhattan dilanda banjir sehingga menyebabkan bandaraya itu terputus bekalan elektrik.
 
Kira-kira 400,000 rumah terputus bekalan elektrik di kesemua lima kawasan pilihan raya bandaran iaitu dari selatan Pulau Manhattan sehingga ke kawasan 39th Street.
 
Seorang rakyat Malaysia yang menetap di sebuah kompleks apartmen di 38th Street, yang terletak di tengah pulau itu dan bersebelahan dengan East River, memaklumkan air hujan memasuki kediamannya sekitar pukul 2 petang, Isnin, akibat hujan lebat dan tiupan angin yang sangat kuat.
"Air hujan masuk melalui celah-celah tingkap rumah, walaupun tingkap sudah ditutup, angin yang sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya bergegar dengan itu kunci terbuka dengan sendirinya," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dilla ketika dihubungi Bernama lewat malam Isnin.
Beliau, yang menetap di tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54 tingkat dengan 840 unit itu, berkata air hujan juga membolosi kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi bilik dan ruang tamu rumahnya.

Beliau yang tinggal seorang diri dan baru berpindah ke kota raya itu setelah dihantar bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di sini turut terputus bekalan elektrik.

"Selepas tidak ada elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat 11, menumpang rumah rakan sekerja, yang turut tinggal di kompleks yang sama," katanya. - BERNAMA

Monday, 29 October 2012

AWAS ISU INI SENGAJA DIUJUDKAN UNTUK PRU13 BAGI MEMECAHKAN PEMBANGKANG

ISU HUDUD DAN ISU PERPADUAN
Dalam tempoh teka-teki tarikh pilihan raya umum ini, kelihatan Barisan Nasional (BN) cuba menyerang Pakatan Rakyat (PR) dengan isu air Selangor, isu tajaan Soros, dan lain-lain. Namun, kelihatan isu-isu ini kurang berjaya menggugat PR dan kadang-kadang dilihat menjadi senjata makan tuan.

Saya melihat ada dua isu yang menjadi senjata ampuh bagi Umno/BN yang dilihat mampu mengugat PR;  iaitu isu hudud dan isu perpaduan. Mengapa dua isu ini? Hal ini kerana, sejak selepas tsunami politik 2008, dua isu ini yang sentiasa diulang tayang silih berganti dan dilihat berjaya menggugat kesepakatan parti-parti dalam PR. Apabila bercerainya parti-parti dalam PR, mimpi Umno-BN untuk terus berkuasa semakin cerah.
Taktik permainan media BN dalam memainkan isu hudud bermula dengan memetik kenyataan mana-mana pemimpin PAS berkaitan hudud. Walaupun kenyataan itu hanya dibuat dengan ayat pendek tetapi dibesarkan di muka hadapan akhbar. Kemudian wartawan upahannya akan minta respon daripada pemimpin DAP yang tidak setuju dengan hudud. Perbezaan pendapat pemimpin PAS dan DAP ini lantas digembar-gemburkan seolah-olah perbalahan besar sedang berlaku.

Pendapat daripada pemimpin Umno dan ulama mudanya akan disiar untuk melaga-lagakan lagi isu ini. Pemimpin Umno biasanya cuba menjadi hero menbela pendirian PAS menyokong hudud walaupun masa umum mengetahui pendirian sebenar Presiden Umno.

Taktik yang sama juga pernah dibuat melalui isu Perpaduan Melayu. Bermula dengan ucapan beberapa kerat pemimpin Umno yang tiba-tiba mengalunkan ayat-ayat indahnya tentang perpaduan Melayu. Isu perkauman dimainkan. Dalil-dalil al-Quran dan hadis dibekalkan oleh ulama mereka untuk dilaungkan. Selepas beberapa hari isu ini dimainkan di media mereka, mereka timbulkan respon bahawa ada beberapa pemimpin PAS yang dilihat menyokong “perpaduan” itu.

Lalu digambarkan seolah PAS-Umno akan bersatu. Kemudian, mereka akan minta respon daripada pemimpin PKR atau DAP. Apabila ada daripada mereka yang dilihat mengkritik PAS, tiba-tiba fokus isu telah berubah. Alunan indahnya perpaduan Melayu tidak lagi dilagukan, yang ada hanyalah berita-berita persepsi seperti “Pakatan Rakyat retak”, “ DAP ugut keluar Pakatan Rakyat” dan sebagainya.

Taktik ini bukan sahaja dapat menggambarkan Pakatan Rakyat tidak kuat, taktik ini juga berjaya mengkambinghitamkan beberapa pemimpin PAS yang dilihat pro-perpaduan dan memburukkan pemimpin ini di mata ahli-ahlinya.

Maka, saya amat berharap kepada pemimpin PAS, PKR dan DAP, jangan cepat melatah dengan taktik ini khususnya isu hudud dan perpaduan Melayu. Suburkan diskusi antara agama untuk menerangkan perbezaan ini. Jangan mudah terpengaruh dengan lakonan Umno-BN kerana kita semua tahu Melayu mana yang mengkhianati Melayu. Berdasarkan situasi sekarang, menjatuhkan kezaliman Umno-BN adalah langkah terbaik berbanding bersatu dengan Umno/BN, maafkan kesalahan lama, dan mulakan kesepakatan baru.
SUMBER  

Sunday, 28 October 2012

MENJELANG PRU13 MELAYU JANGAN SAMPAI LAYU


MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

NUKILAN
Usman Awang

Saturday, 27 October 2012

KESIAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA DAN UTUSAN MELAYU

PENYOKONG TEGAR GLC
Bila pemimpin politik pembangkang dan blogger mempersoalkan soal ketelusan dan keterisan kerajaan dalam membelanjakan wang negara kutuk dan kata macam-macam. Bila persoalkan tentang cara pentadbiran yang boros dan rakus serta menidas rakyat kata pembangkang ada-adakan cerita. Semua yang kerajaan buat baik tidak ada yang meragukan itulah yang anda sajikan kepada rakyat setiap hari. Apa yang pembangkang persoalkan semuanya tidak betul.
Anda harus faham rakyat semakin celik. Kita semua seperti anda juga sayangkan negara kita. Kita tidak mahu kekayaan yang ada di negara kita dinikmati suku sakat pemimpin sahaja. Kita pun bukan nak saja-saja tuduh. Anda juga ada mata boleh melihat apa yang berlaku. Bila cerita pasal Melayu berapa banyak Melayu yang dapat faedah. Jika ada pun yang lebih mungkin kakitangan perkhidmatan awam yang lain-lainya sekadar kita lihat sahaja.

Anda adalah pemuja utama kerajaan, tapi apa yang anda dapat. Akhbar bukan melayu berniaga untung, tapi anda. Kesian..... Teruskan sahaja tugas anda. Yang penting makan kita terjaga. Mungkin satu ketika nanti anda semua sedar dari mimpi dan lamunan anda.

GLC gagal bantu akhbar Melayu

Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kegagalan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) membantu masyarakat bumiputera mempunyai asas kukuh sebagaimana yang dapat dilihat kepada pendapatan iklan industri media cetak berbahasa Melayu yang masih rendah.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff (gambar) berkata, walaupun mengaut keuntungan berlipat kali ganda, GLC masih gagal menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi dalam menyumbang iklan kepada industri media cetak berbahasa Melayu.


"Belanja iklan untuk media cetak tahun lalu secara keseluruhannya mencecah RM3.2 bilion, tetapi bahagian yang diperoleh untuk media cetak berbahasa Melayu adalah sekitar RM400 juta sahaja.
"Angka tersebut itu menyedihkan kerana GLC berbelanja sebanyak RM1.5 bilion untuk promosi dan iklan tahun lalu, tetapi berapa banyak yang pergi kepada media cetak berbahasa Melayu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Dr. Mahathir membidas GLC kerana gagal membantu meningkatkan keupayaan ekonomi orang Melayu dan tidak lagi berperanan sebagai pemegang amanah bagi kaum tersebut seperti mana di peringkat awal penubuhannya.
Menurut Mohamad, masalah yang dihadapi industri iklan tempatan itu turut disumbangkan oleh kecenderungan GLC untuk menggunakan agensi pengiklanan antarabangsa serta perancang media antarabangsa.
"GLC sepatutnya mempunyai semangat nasionalisme untuk menggunakan agensi tempatan, ramai orang-orang kita yang berbakat telah keluar dari agensi asing untuk membuka syarikat sendiri tetapi tidak dapat hidup kerana tidak dibantu GLC," katanya.
Beliau menambah, untuk melindungi pendapatan pengeluar iklan bahasa Melayu khususnya dalam industri media cetak, kerajaan wajar menggubal Dasar Pengiklanan Negara (DPN) bagi menjamin perkara itu.
"Industri pengiklanan adalah bukti yang menunjukkan agihan dan sumbangan GLC begitu kecil kepada golongan bumiputera, walaupun belanja iklan mereka berjuta-juta ringgit, tetapi langsung tidak seimbang kepada pengusaha bumiputera," katanya.
(Utusan). Kongres Ekonomi Melayu 2012
Hari ini sempena Kongres Ekonomi Melayu 2012 Che Det menegur lagi di mana terdapat pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya yang sepatut memperkukuhkan ekonomi Bumiputera.

Khazanah Nasional Bhd ditubuhkan untuk memelihara equiti Bumiputera terutama orang Melayu ternyata lemah dari segi ekonomi dan pemilikan ekuiti. GLC yang seharusnya menjaga kepentingan Bumiputera sebenarnya sudah hilang jiwa dan jatidiri Melayu nya.

GLC-GLC ini dipimpin oleh CEO-CEO yang berkelulusan barat yang telah dilatih dengan ilmu ekonomi liberal amalan barat. Keuntungan merupakan matlamat utama. Membantu Bumiputera dan Melayu merupakan liabiliti bagi mereka dan bukan pun KPI utama sebagai penilaian prestasi mereka.

Parut krisis ekonomi 1997 ialah Melayu dan Bumiputera dilihat sebagai kroni. Walaupun kita tidak meminjam dari IMF dan kita menentang Soros penyangak mata wang habis-habis tetapi pemikiran IMF dan Soros telah tertanam di dalam minda pelajar-pelajar kita yang belajar di Universiti Of London, Harvard dan Cambridge.

Mereka-mereka ini lah yang sedang menguasai GLC kita hari ini. Mereka hidup mewah dengan gaji dan saraan hidup yang lumayan dan hanya bercampur sesama mereka dalam kelab elit.

Tidak mustahil generasi selepas ini akan malu untuk mengaku mereka itu Melayu dan Bumiputera. Yang masih kuat memperjuangkan hak-hak Melayu dan Bumiputera ialah mereka yang ‘drop out’ dan terpinggir kerana merasakan mereka harus mendapat pembelaan dari kuasa politik.

Terdapat pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya iaitu untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
  
Beliau berkata sebagai contoh, Khazanah Nasional Bhd ditubuhkan berikutan keupayaan Bumiputera, terutama orang Melayu, lemah dari segi ekonomi dan pemilikan ekuiti.
  
"Oleh itu kita tubuhkan badan yang dikuasai oleh kerajaan (Khazanah) supaya mereka memegang saham-saham ini sementara kita memperkaya Bumiputera, dan kemudian kita agihkan kepada mereka (Bumiputera)," katanya kepada pemberita pada Kongres Ekonomi Melayu 2012 (KEM2012) di ibunegara semalam.
  
Beliau berkata demikian ketika mengulas peranan GLC dalam memperkukuh ekonomi Bumiputera.
  
Dr Mahathir yang juga penasihat Petronas, berkata ada GLC yang telah terpisah daripada ikatan asal mereka sebagai pemegang amanah Bumiputera dan orang Melayu, malah tindakan mereka juga bertentangan dengan dasar penubuhannya.

"Sekarang dasar dah bertukar. Mereka jadi peniaga utama dan kadang-kadang diagihkan kepada bukan Bumiputera, orang asing dan sebagainya.
  
Malah, katanya kadangkala GLC turut berlumba-lumba dengan syarikat kerdil Melayu yang sama sekali tidak mampu menandingi keupayaan GLC.

Dr Mahathir turut menyeru orang Melayu agar bersatu-padu dalam memperjuangkan hak kesamarataan dalam pembahagian hasil kekayaan negara.

"(Kita) tak rampas hak orang lain, kita nak bahagian kita sahaja.
  
"Kita merupakan penduduk majoriti 60 peratus, tapi kita hanya minta 30 peratus (pemilikan ekuiti), ambillah yang lain bagi mereka," katanya.

Beliau turut menyarankan kerajaan memberi pertimbangan terhadap permasalahan yang dihadapi oleh peniaga Bumiputera.

Antaranya, peningkatan mendadak sewa di kompleks-kompleks perniagaan termasuk kompleks yang dimiliki oleh kerajaan secara tidak langsung.

Kenaikan ini kata beliau telah memaksa peniaga Bumiputera keluar dari kompleks-kompleks ini kerana tidak mampu membuat keuntungan.

KEM2012 yang dianjurkan oleh Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), berjaya mengumpulkan lebih 500 peserta untuk membincangkan hala tuju serta menjaga kelangsungan ekonomi orang Melayu.

Kongres dua hari itu yang berakhir hari ini, meluluskan 18 resolusi bagi mengukuhkan ekonomi orang Melayu selain pelancaran Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Bhd sebagai skim pelaburan kolektif daripada ahli, usahawan Bumiputera serta individu, kerajaan dan agensi.
  
- Bernama

NEGARA ISLAM ATAU NEGARA SEKULAR

ISU YANG TIADA PENGHUJUNG
PERSOALAN adakah Malaysia sebuah negara sekular sering dibahaskan. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, dalam jawapan bertulis di Parlimen menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Malaysia adalah negara sekular.
Mungkin kerana peruntukan dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu" membawa kepada kefahaman sedemikian rupa.

Apakah dengan peruntukan sedemikian menafikan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam dan meletakkannya sebagai sekular?

Menurut (Prof.) Dr. Abdul Aziz Bari, apabila mentafsirkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan, ia tidak boleh ditafsirkan secara sempit dan berasingan daripada peruntukan lain dalam Perlembagaan itu sendiri.

Hujah yang menyatakan bahawa Malaysia sebuah negara sekular adalah kurang tepat.

Ini kerana, terdapat banyak peruntukan lain dalam Perlembagaan itu yang memberi keistimewaan kepada agama Islam. Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam, menunjukkan bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Lagipun perkataan sekular tidak wujud dalam Perlembagaan itu sendiri.

Dari sudut sejarah Tanah Melayu dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai sebuah negara Islam melihat kepada undang-undang yang dilaksanakan semasa itu. Sebelum kedatangan penjajah Belanda dan British, undang-undang yang terpakai adalah meliputi undang-undang Islam dan adat.

Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang pokok mempengaruhi undang-undang di negeri lain, yang banyak mengandungi peraturan dan hukuman yang berlandaskan agama Islam dan adat Melayu. Kedatangan Belanda di Melaka dan seterusnya menjajahi seluruh Tanah Melayu tidak sedikit pun memberi kesan kepada aspek undang-undang yang terpakai semasa itu.

Hanya dengan kedatangan British, undang-undang Islam sedikit demi sedikit diketepikan dan diganti dengan undang-undang Inggeris.  Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, tiada satu perisytiharan dibuat mengatakan Malaysia adalah negara Islam.

Perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam hanyalah dibuat 44 tahun kemudian oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 September 2001.

Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki sekarang digubal oleh satu Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dari United Kingdom dengan ahli-ahli lain terdiri dari Sir Iver Jeannings dari United Kingdom, Justice Abdul Hamid dari Pakistan, Sir William McKell dari Australia dan B Malik dari India.

Pada asalnya, peruntukan Islam sebagai agama negara tidak terdapat dalam draf awal Perlembagaan. Hanya Justice Abdul Hamid dari Pakistan membangkitkan persoalan itu dalam lampiran laporan Suruhanjaya itu.

Selepas itu, Parti Perikatan mencadangkan supaya satu peruntukan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam Perlembagaan tanpa sedikit pun menyisihkan hak bukan Islam dalam menganut, mengamal dan menyebar agama mereka.

Memang benar Suruhanjaya ini ada menyatakan bahawa peruntukan ini tidak sama sekali mengetepikan status Malaysia sebagai sebuah negara sekular tetapi ia sama sekali tidak wujud dalam draf akhir Perlembagaan itu sendiri.

Pihak Raja-raja pada awalnya agak keberatan menerima peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, bimbang baki kuasa yang ada dalam tangan mereka iaitu agama Islam dan adat Melayu akan diserahkan kepada Kerajaan Pusat.

Akhirnya, setelah Perikatan meyakinkan kedudukan sebenar, Raja-raja Melayu bersetuju menerima kemasukan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Kertas Putih dikeluarkan bagi maksud itu. Maka, Perkara 3(1) menyatakan "Ugama Islam adalah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".

Peruntukan seperti ini diberi penekanan sekali lagi dalam Perkara 11(1) yang berbunyi "tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya".

Dengan adanya dua peruntukan penting ini, Perlembagaan memberi jaminan hak kebebasan beragama kepada kepada semua penganut agama. Tetapi, kebebasan beragama tidaklah bersifat mutlak.

Sebagai contohnya, dalam fasal (4) Perkara 11 memberi kuasa kepada Parlimen dan Badan-badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Di samping itu, Perkara 11 (5) meletakkan syarat bahawa kebebasan itu tidak menyalahi ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak.

Walaupun Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman ada menjelaskan dalam satu sesi Parlimen bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk tujuan rasmi negara, itu hanyalah pandangan peribadi beliau.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri tidak sama sekali menyebut negara ini sebagai negara sekular.

Mungkin ada sesetengah peguam dan pengamal undang-undang yang mengatakan bahawa kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55 mengiakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan ini mengesahkan bahawa negara ini adalah negara sekular.

Ini kerana Hakim Tuan Salleh Abbas (ketika itu) berpendapat bahawa agama Islam bukanlah hanya peribadatan khusus tetapi meliputi satu cara hidup yang merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada dalam bentuk individu mahupun kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman, namun peruntukan Perkara 3(1) hanyalah bersifat peribadatan dan upacara rasmi sahaja.

Tetapi menurut Prof. Dr.Aziz Bari, keputusan kes ini sebenarnya tidak mencerminkan kedudukan sebenar Islam seperti mana yang dibuat dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih. Keputusan Che Omar tidak boleh sama sekali mempertikaikan perihal kesahihan undang-undang.

Ia hanyalah mengehadkan amalan agama Islam seperti mana yang termaktub. Keputusan kes ini tidak sama sekali merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri.

Ini kerana perayu mempertikaikan sama ada undang-undang yang wujud dalam negara ini, dalam hal ini hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah adalah bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, justeru undang-undang Islam tidak menghukum orang yang mengedar dadah dengan hukuman mati.

Oleh DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

PRU13 - PAS DAN DAP TIDAK UMUM CALON LEBIH AWAL

TIDAK IKUT JEJAK BN
Pas dan DAP tidak akan mengikut rentak Barisan Nasional (BN) yang akan mengumumkan nama calon mereka dua minggu lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun pendekatan berbeza diambil oleh PKR, yang sudah pun berbuat demikian di beberapa kawasan secara tidak rasmi oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beberapa bulan yang lalu.

Menjelang PRU 13
Pas, PKR dan DAP merupakan anggota Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, parti itu lebih selesa mengambil pendekatan tidak mengumumkan nama calon mereka lebih awal dan hanya berbuat demikian  jika perlu.

"Pas tidak akan umum kecuali perlu. Contohnya dalam kes Salahuddin Ayub yang akan bertanding di Johor. Umumnya memang kita tidak akan umum awal," katanya.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan calon Pas sudah maklum bahawa nama mereka akan dicalonkan di kawasan-kawasan tertentu dalam misi merampas Putrajaya pada PRU yang dianggap getir ini.

"Kita tidak beritahu secara menyeluruh. Secara umum mereka boleh agak (dicalonkan)," ujar beliau.

Diminta mengulas sama langkah BN yang berhasrat menamakan calon lebih awal, Mustafa berkata, "ada pro dan kontranya juga umum calon awal ini."

Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu, parti itu mungkin melakukan perubahan pada pilihan raya kali ini.

Beliau juga berkata, ada lebih banyak kebaikan untuk menamakan calon lebih awal berbanding keburukannya.

“Saya akui memang ada kebaikan dan keburukannya. Kita kena membuat pertimbangan yang sewajarnya. Kalau difikirkan kebaikannya lebih banyak untuk menamakan calon lebih awal, maka terserahlah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk membuat keputusan muktamad," kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, parti itu tidak akan mengambil langkah sama seperti BN.

"Kita tidak akan terpengaruh dengan cara BN.

"Bukan hanya DAP tetapi saya kira semua parti akan mengambil langkah sama (tidak umum terlalu awal).

"Kalau terlalu awal akan ada orang yang buat kacau," kata Seng Giaw, yang juga Ahli Parlimen Kepong kepada Sinar Harian Online.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Adnan menyifatkan parti itu kini berada dalam keadaan tertekan sehingga terpaksa mengambil keputusan mengumumkan calon lebih awal.

"BN meniru kita. PKR sudah umum awal di beberapa kawasan termasuk saya sendiri yang sudah diumumkan akan bertanding di kawasan Parlimen Pandan.

"BN terpaksa ikut rentak PKR. Ini berlaku kerana tekanan perebutan kerusi yang sangat hebat," katanya yang kemungkinan akan bertanding di Pandan.

Menurut Rafizi, pengumumam awal nama calon di sesetengah kawasan oleh Anwar bertujuan untuk memaklumkan pengundi di kawasan itu mengenali siapakah calon yang akan dipertaruhkan oleh PKR.

"Ini memberi peluang kepada pengundi di kawasan itu mengenali terlebih dahulu calon PKR itu," ujar beliau.

BILA PEMIMPIN BESAR BERCAKAP PEMIMPIN KECIL PUN NAK IKUT CAKAP SAMA

BUKAN SEMUA RAKYAT LUPA
Kenyataan bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagalkan agenda Melayu ketika memegang jawatan Menteri Kewangan adalah tidak berasas sama sekali.

Menurut Sanusi ketika sebuah forum ekonomi Melayu semalam, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Tun Daim Zainuddin cuba ‘meniru’dasar anti-Yahudi Jerman dahulu dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada masyarakat bukan Melayu.

Namun Sanusi mendakwa usaha ini digagalkan oleh Anwar yang memberikan lesen perbankan kepada dua kumpulan bukan Melayu - Hong Leong Bank dan Alliance Bank.
Tuduhan Sanusi tidak berasas. Alliance Bank Malaysia Berhad merupakan syarikat perbankan di bawah Alliance Financial Group Berhad (AFG) yang dikaitkan dengan Tun Daim Zainudin.

Daim dikatakan memiliki 14.8% AFG menerusi Langkah Bahagia Sdn Bhd. Langkah Bahagia bersama-sama pihak-pihak berkaitan syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings Ltd mempunyai kepentingan di dalam AFG menerusi Vertical Theme Sdn Bhd.

Hubungan AFG dan Daim bermula sejak 1982 lagi apabila beliau membeli Malaysian French Bank. Malaysian French Bank kemudian dinamakan Multi-Purpose Bank. Pada 1997, Langkah Bahagia membeli saham di dalam Hock Hua Bank (Sabah). Salah seorang pemilik saham Langkah Bahagia, Mohd Nasir Ali mengumumkan bahawa beliau bertindak bagi pihak Daim.

Hock Hua Bank kemudian ditukar nama menjadi International Bank Malaysia Berhad dan digabungkan bersama Multi-Purpose Bank serta enam lagi syarikat kewangan untuk menjadi AFG.

Mungkin agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni-kroni UMNO-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran. Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar.

Nyata sekali kenyataan Sanusi adalah fitnah semata-mata yang tidak berasas. Ketaksuban beliau di dalam menyerang Anwar dan mempertahankan Mahathir dan Daim membuatkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi yang telah menjadikan rakyat Malaysia umumnya dan Melayu umumnya sebagai mangsa.

NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
SUMBER 

Friday, 26 October 2012

MENCARI CALON PILIHAN RAYA

BN NAFIKAN
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan bahawa individu tertentu telah diarahkan oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri atau setiausaha agung BN kononnya untuk ‘mencari calon pilihan raya’ atau membuat kajian selidik calon di kawasan tertentu.
  
"Ada yang masuk ke kawasan dengan menjual nama saya,  perdana menteri, presiden lain dengan menyatakan dia telah diarah turun untuk mencari calon.
"Ini adalah tidak betul dan satu pembohongan yang besar. Jangan terpedaya dengan mereka," kata Tengku Adnan kepada pemberita selepas majlis korban dan kenduri rakyat sempena Aidiladha anjuran Umno Bahagian Putrajaya, semalam.

Sementara itu,Tengku Adnan berkata nama calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang sedang melalui pelbagai saringan untuk disenarai pendek.
  
"PRU-13 boleh diadakan pada bila-bila. Nama calon semua sudah kita terima dan separuh sudah dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

"Ada satu tempat, terdapat dua atau tiga nama (calon). Kadangkala, satu nama sahaja di kawasan tertentu, namun proses saringan tetap dijalankan.
  
"Kita nak calon yang rakyat nak, bukan calon yang parti nak atau calon yang orang tertentu nak. Calon yang rakyat nak kerana mereka akan menjadi wakil kepada rakyat," katanya.

Tengku Adnan juga berkata BN berkemungkinan akan menamakan calon pilihan rumum lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.
  
Beliau berkata perbezaan daripada amalan biasa ini tidak tertakluk kepada calon Umno sahaja malah semua parti komponen BN.
  
Katanya, ada lebih banyak kebaikan untuk menamakan calon lebih awal berbanding keburukannya dan menegaskan ada sedikit perbezaan pada pilihan raya umum akan datang.
  
Bagaimanapun, katanya, rancangan itu terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN, untuk membuat keputusan.
  
"Saya yakin kali ini ia akan dilaksanakan dengan sedikit perbezaan. Barangkali ia akan dinamakan lebih awal dari biasa," katanya.

Kelmarin, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata Umno belum bercadang untuk mengumumkan lebih awal nama calon bagi mengelak perbuatan sabotaj termasuk mereka yang tidak dipilih mewujudkan ‘pasukan’ bagi menjatuhkan calon terpilih.

Mengenai Perhimpunan Agung Umno dari 27 November hingga 1 Disember ini, Tengku Adnan berkata ia akan menumpukan kepada persiapan pilihan raya yang akan datang.
  
"Seperti biasa, kita akan bincang berkenaan usul dan ucapan presiden, usul ekonomi, agama dan pendidikan.
  
"Dalam ucapan presiden, beliau (Najib) akan kekalkan mengenai persiapan untuk menghadapi pilihan raya, kalau pilihan raya belum diadakan tetapi kalau pilihan raya sudah diadakan, berkemungkinan beliau akan sebut kemenangan yang kita capai," katanya.

- Bernama

ULAMA SAMA ULAMA BERSENGKETA

JANGAN SAMPAI SEMUANYA HANYUT
Sejak kebelakangan ini bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilihat begitu agresif melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU) termasuk kenyataan terbaru bahawa Ulama yang menyertai UMNO 'hanyut'.
Perbezaan pendapat antara keduanya dilihat ketara selepas ILMU mengeluarkan pandangan menolak demonstrasi jalanan (dalam konteks ini merujuk kepada Bersih 2.0) sebagai satu pendekatan yang diterima Islam. Berbeza dengan Dr Asri yang mengeluarkan pandangan menyokong perkara tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat Ilmuwan Malaysia, Dr Fathul Bari Mat Jahaya ketika diminta mengulas perkara tersebut mempersoalkan motif kenyataan tersebut.

"Saya tak paham apa dia (Dr Asri) punya motif dan apa dia punya tujuan. Saya kira saya tak mahu cakap membuat andaian bagi mengelakkan saya membuat tanggapan buruk kepada saudara se-Islam saya” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai idea penubuhan ILMU suatu ketika dahulu, beliau menjelaskan ia adalah merupakan cadangan Dr Asri sendiri.

"Ya, dia adalah 'mastmastermind', untuk penyertaan ulama dan ilmuwan muda ke dalam UMNO, dia antara orang yang memberikan cadangan awal dan mengharapkan ilmuwan-ilmuwan bersama-sama dengan UMNO. Itu memang idea beliau yang saya tidak menafikan

"Walau bagaimanapun Dr Fathul turut mengatakan ILMU telah ‘diserang’ dengan pelbagai tuduhan dan kritikan secara berterusan dan ia adalah merupakan satu perkara yang keterlaluan.

"Beraku keganjilan, penyertaan kita (ILMU) ke dalam UMNO, bahawasanya (mengharapkan) ia akan memberikan impak yg positif kepada politik negara. Tetapi akhirnya kita diserang oleh beliau (Dr Asri). Sehingga digambarkan sebagai pengampu, ulama kerajaan, bahaya dan hal yang sewaktu dan seumpama denganya.

"Jadi kita melihat perkara tersebut telah keterlaluan, kita menjawab dengan beberapa patah perkataan, dan wallahualam, mungkin beliau sendiri merasa kecil hati dengan kenyataan tersebut sehingga berlaku cabar mencabar, debat dan sebagainya.

Dr Asri juga dilihat seolah-olah ‘menyindir’ ILMU di dalam halaman twitter beliau, kerana tidak hadir di dalam program debat anjuran Sinar Harian beberapa hari yang lalu.

Dam masa yang sama Dr Fathul Bari menegaskan adalah "tidak adil" menjatuhkan hukuman dengan melabel ulama-ulama yang menyertai UMNO "hanyut" kerana tidak boleh menerima persekitatan politik parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Sambil menolak pandangan Dr Asri, Fathul yang menyertai UMNO lebih dua tahun lalu berkata, sesiapa saja, sekalipun tidak kira ulama atau bukan ulama, dan menyertai mana-mana parti sekalipun, selagi mereka berpegang pada asas dan teras agama Islam, tidak akan wujud istilah "hanyut."

"Sangat tidak adil apabila ulama yang menyertai UMNO dijatuhi hukuman sebegini, jika mahu buat kenyataan sekali pun, berlapiklah," kata beliau dipetik dari Sinar Harian.

Semalam, Asri berkata, pengalaman masa lalu menunjukkan bahawa sebahagian ulama yang menyertai UMNO tidak timbul dalam peranan disebabkan kewujudan amalan politik wang.Katanya, ulama-ulama terbabit tidak dapat mengadaptasikan pendekatan dan persekitaran politik diamalkan dalam UMNO.

"Jangan senang-senang pula menuduh mengenai rasuah atau politik wang jika tiada bukti. Membuat tuduhan tanpa bukti. Ini budaya apa? Kalau benar terlibat dengan politik wang, tolong buktikan," tegas Fathul.

Kata beliau, mana-mana ulama yang menyertai politik akan ada kesan negatif dan positifnya tetapi tidak adil jika ulama dalam politik ini dihukum secara terus.

"Hukuman ini sangat tidak adil, jika mahu lontarkan pandangan, beri sekali dengan bukti, bukan hanya lontaran persepsi," tegasnya.Tambah beliau, isu 'hanyut' juga tidak pernah timbul di kalangan ulama kerana bagi dirinya sendiri, asas yang dipegang ialah ajaran ALLAH SWT.

"Selagi berpegang kepada teras Islam, isu ini tidak akan wujud, masuklah mana-mana parti politik sekalipun, ia tidak akan jadi masalah," ujarnya.-25/10/2012  AGENDA DAILY

PRU13 JANGAN BANGKITKAN KEMARAHAN RAKYAT

AES - ANDA ENGKAR SAMAN
Banyak telah dibicarakan dan berbagai reaksi yang tidak begitu menyenangkan apabila Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System - AES) dilaksanakan penguatkuasaannya di seluruh negara.

Walaupun tujuan asalnya untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya, di samping mendidik pengguna jalan raya supaya pemandu lebih berhemah terutama sekali mematuhi lampu isyarat dan tidak memandu melebihi had laju.

Walau apapun, hak dan suara rakyat hendaklah dihormati kerana sebagai pengguna jalan raya mereka lebih arif tentang permasalahan yang berlaku dan akan berlaku jika AES ini diteruskan juga.

Bayangkanlah, sistem lampu isyarat merah, kuning dan hijau itu apabila bertukar ke warna kuning yang memberikan isyarat supaya berhenti, hanya satu atau dua saat sahaja, sedangkan kenderaan yang mengekori kita dari belakang mungkin dipandu agak laju. Sudah tentu akan membahayakan pemandu di hadapan sekali kerana terpaksa menekan brek secara mengejut dan mudah terjadi pelanggaran yang bakal membabitkan beberapa keenderaan yang lain.

Keduanya sistem had laju di negara kita kadangkala tidak masuk akal, iaitu ada jalan raya yang mengehadkan kelajuan yang dibenarkan 30 kilometer sejam atau 40 kilometer sejam walaupun jalan raya itu tampak lurus dan tiada masalah apa pun.

Jika kamera AES dipasangkan di tempat-tempat berkenaan, pastinya ramai yang 'kantoi' dan akan menerima surat saman yang mencecah ratusan dan ribuan ringgit itu. Perkara itulah yang menjadi rungutan pengguna. Hal ini tidak termasuk lagi segelintir pengguna yang nakal yang sengaja memasang plat nombor palsu atau kemungkinan kesilapan teknikal sistem eletronik itu sendiri.

Tidak ada sebab mengapa AES perlu dilaksanakan buat ketika ini kerana kemalangan dan kematian yang membabitkan pemandu di sekitar tempat lampu isyarat dan kawasan zon had laju yang dibenarkan tidaklah seramai mana apabila berbanding dengan penunggang motosikal.

Selain itu, disyorkan agar semua lampu isyarat diletakkan skrin eletronik yang menyatakan minit dan saat sebelum lampu isyarat bertukar warnanya agar mudah untuk pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan mereka atau bersedia untuk berhenti dan berapa lama menanti.

Kita kena betulkan sistem yang sedia ada dahulu sebelum masuk ke fasa AES. Hal ini  kerana sistem sekarang pun tidak begitu efisien dalam pengendaliannya lagi dan jika ingin diteruskan juga untuk permulaan janganlah dikenakan denda yang boleh membebankan pengguna.

Saya mencadangkan pengguna jalan raya yang didapati bersalah itu dihukum menghadiri kursus motivasi undang-undang jalan raya atau dikenakan tindakan membuat kerja-kerja kebajikan masyarakat dalam masa yang ditentukan. Mungkin cara ini dapat mendidik pengguna jalan raya dengan lebih berkesan lagi. Denda berbentuk wang ringgit hanya dikeluarkan setelah denda yang lain tidak berkesan atau diambil ringan sahaja.

Kita juga perlu mendisiplinkan pemandu teksi, bas dan kenderaan berat. Di lebuh raya, kenderaan ini selalunya tidak mematuhi had laju. Dalam masa yang sama kerajaan juga mesti menaikkan taraf jalan persekutuan dan negeri. Hal ini kerana, jalan rosak dan berlubang boleh menyebabkan kemalangan berlaku dan lorong jalan laluan khas motosikal juga sepatutnya diperbanyakkan lagi.

HUDUD DAN NEGARA BERKEBAJIKAN PERLU SEIRING

HUDUD OH HUDUD

Dan kerana itu, awlawiyyat PAS di kala ini adalah menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Berkebajikan. Segala kepentingan, hak rakyat perlu dipenuhi terlebih dahulu. Pastikan wang zakat sampai kepada asnaf, rakyat miskin diberi bantuan, kepentingan rakyat dijaga dan lain-lain hal diselesaikan. Tidak timbul soal dimana Hudud yang PAS perjuangkan, kerana manifesto mewujudkan Negara Berkebajikan adalah keutamaan, dan jadi wasilah dalam mempergerakkan fasa-fasa dan tahap-tahap penerangan Hudud secara menyeluruh kepada rakyat.
Mana mungkin bila PAS bersama PR, maka Hudud menjadi keutamaan sedangkan disaat pemerintah UMNO BN tidak pernah menjelaskan hudud kepada rakyat, tidak pernah dibincangkan di media, tdak pernah dikupas dalam Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Forum Perdana, Bicara Mufti dan lain-lain. Hatta di peringkat sekolah tiada dalam sukatan Pendidikan Islam, Pendidikan Al-Quran Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiyyah dan Tasawwur Islam. Takkan PAS memerintah maka terus dilaksanakan Hudud dalam keadaan ramai rakyat yang jahil tentangnya? Sudah pastinya ia menjadi kejutan jika hudud menjadi keutamaan kerana semasa zaman UMNO rakyat ditakutkan dengan Hudud. 

 Yang kena jelas, kita kena betul-betul faham. Hudud hanya tidak menjadi awlawiyyat yg pertama, tetapi masih menjadi keutamaan. Apa yg past, setelah hak rakyat diberikan, kepentingan rakyat dijaga, hidup rakyat dibela, DAN penerangan berkenaan hudud disebarluas di media, maka barulah hudud boleh dilaksanakan . Itupun step by step. Tidak rigid. 

 Pedulikan UMNO BN. Mereka hanya pandai mempersoal perjuangan Hudud yg dibawa PAS dengan memutarbelit kononnya PAS kini perjuangkan Negara Berkebajikan dan melupakan Hudud. Walhal mereka langsung tiada usaha dalam memperkenalkan Hudud kepada rakyat. Langsung tiada, sama ada di media mahukan wacana kepada rakyat. Mereka hidup kerana takut dengan bayang bayang sendiri. Lantas kerana itu membantah Hudud. Kerana jika hudud dilaksanakan, puak depa yg paling ramai kena HUDUD.

Thursday, 25 October 2012

AMALAN PADA HARI RAYA AIDIL ADHA - HARI RAYA QURBAN

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA
Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Walillah hilham.

Solat hari raya dan sembelih korban
Dari Al-Barra, katanya; "Saya mendengar Nabi berkhutbah. Kata beliau: "Pekerjaan kita hari ini (10 Zulhijjah) ialah solat. Sesudah itu pulang dan menyembelih korban. Sesiapa yg berbuat demikian bererti telah menjalankan agama kita." (Sahih Muslim)

Tidak makan sehingga selesai solat 'idil Adha.
Diriwayatkan dari Buraidah ra. ia berkata : Adalah Nabi saw keluar untuk solat 'idil fitri selepas makan terlebih dahulu dan tidak makan pada 'ldil adha sehingga beliau kembali dari solat hari raya. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)

Tidak melalui jalan yang sama waktu pergi dan balik solat hari raya.
Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi saw apabila keluar untuk solat hari raya ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan ( yakni waktu pergi melalui satu jalan dan waktu balik melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhari )

Perempuan juga digalakan menghadiri perhimpunan solat hari raya.
Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra. ia berkata : Rasulullah saw. memerintahkan kami keluar pada 'idil fitri dan 'idil adha, semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Ada pun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari tempat solat, mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan khutbah. Saya berkata : Ya Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda : Pinjamlah daripada saudara mara kamu. ( H.R : Jama'ah)

Perbanyakkan Zikir
Dari Ibnu Umar bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak ada suatu hari yang lebih agung di sisi Allah dan tidak pula ada amalan-amalan yang lebih dicintai ALLAH selain amal yang dikerjakan pada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, maka perbanyakanlah padanya tahlil (La ilaha illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)". (HR Imam Ahmad)


Wednesday, 24 October 2012

HAJI AKBAR

WUKUF JATUH HARI JUMAAT
Umat Islam sekali lagi akan meyambut hari raya haji. Hari raya haji dikenali juga dengan hari raya korban. Dinamakan hari raya haji bersempena dengan amalan ibadat haji di Tanah Suci Mekah manakala korban adalah bersempena dengan amalan korban yang disunatkan kepada umat Islam melakukannya.
haji-mabrur
Tahun ini sekali lagi umat Islam berpeluang menyambut hari raya haji akbar. Sebenarnya haji akbar berlaku pada setiap tahun. Faham masyarakat Islam di sini haji akbar ialah hari yang mana hari wuqufnya jatuh pada hari Jumaat adalah satu kefahaman yang saya tidak peroleh dalil yang kuat. Tentang haji akbar ini Allah SWT sebut dalam quran surah at-taubah ayat 3 kata Allah SWT:
وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُ فَإِنْ تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ وَبَشِّرِ الَّذِينَ كَفَرُوا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Dan (Inilah) suatu pemakluman daripada Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka taubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih.

Saya telah meneliti beberapa kitab tafsir tentang haji akbar di antaranya Tafsir Ibn Kathir, Al-Qurthubi, At-Tobari, Jalalain, Addur almanthur, Fathul qadir dan lain-lain. Setelah ditelaah pendapat ahli tafsir tentang haji akbar maka didapati ulama khilaf tentangnya. Walau bagaimanapun tidak saya ketemui dalam kitab-kitab tafsir pendapat yang mengatakan bahawa haji akbar ialah haji yang mana wuquf jatuh pada hari Jumaat.

Ulama khilaf berkenaan haji akbar. Ada pendapat mengatakan ianya ialah hari Arafah (9 zulhijjah), ada yang mengatakan hari nahar (10 zulhijjah). Ini adalah pendapat kuat yang berlegar di kalangan ulama di samping ada pendapat bahawa ianya ialah haji qiran, semua hari ibadat haji dilakukan, ada juga berpendapat haji akbar ialah ibadat haji manakala haji asgrar ialah umrah. Ibnu Sirin pula mengatakan bahawa haji akbar ialah tahun haji yang dilakukan oleh baginda Nabi SAW.

Pendapat yang terpilih ialah haji akbar ialah hari nahar. Inilah yang dipilih oleh Al Imam Tobari sebagaimana riwayat Umar, Uthman, Ibnu Abbas, Tawus dan Mujahid. Juga menjadi pendapat dalam mazhab Abi Hanifah dan disebut juga oleh Al- Imam Syafie.

Kesimpulannya hari yang disebut sebagai haji akbar ialah pada hari raya idil adha. Pendapat yang mengatakan haji akbar itu jatuh apabila hari wuqufnya pada hari Jumaat adalah pendapat yang lemah dan batil.

Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Zaadul Ma'ad menyatakan, haji akbar dengan pengertian apabila hari wuquf berlaku pada hari Jumaat dan keistimewaan haji pada tahun itu menyamai 72 kali haji biasa adalah batil dan tidak bersumberkan dalil-dalil yang sahih, sama ada daripada Rasulillah, para sahabat, mahupun tabiin.

Selamat Menyambut Haji Akbar.

ZULHIJJAH DAN AIDILADHA

ISU DAN HUKUM
KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.
hajmecca.jpg
Disebutkan oleh Nabi SAW :

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman : 

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

"Demi Fajar dan hari-hari (malam-malam) yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan malam sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).

Perlukan difahami di dalam lafaz bahasa arab, malam juga membawa maksud siang dalam konteks tertentu, demikian juga sebaliknya. Malah Imam Ibn Abbas sendiri menafsirkan perkataan malam itu dengan katanya 

وعن ابن عباس أيضا أنه النهار كله ، وعبر عنه بالفجر ; لأنه أوله
Ertinya: dari Ibn Abbas juga beliau berkata : itu termasuk siang seluruhnya, dan itu jelas dari perkataan fajar yang dimulakan, dan siang terlebih dahulu. (Tafsir Al-Qurtubi)
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f)  Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut  :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )
 
POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
 
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

QURBAN DENGAN BAYAR SEDEQAH DUIT TANPA WAKIL SEMBELIHAN

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.  [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah : 

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)
 
KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban : 

احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

MEMATAHKAN TULANG DAN TANDUK BINATANG QURBAN

Majoriti ulama mengharuskannya mankala tegahan untuk mematahkan tulang hanya di dalam hal aqiqah dengan doa ia menjadi kebaikan kepada si bayi berdasarkan hadith riwayat Al-Bayhaqi 

السنة شاتان مكافئتان عن الغلام وعن الجارية شاة, تطبخ جدولا, لا يكسر لها عظم
Ertinya : Sunnah adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor bagi perempuan, dimasak dan TIADA dipecahkan tulangnya. ( Riwayat Al-Bayhaqi dan Al-Hakim)

Namun tiada sebarang nas atau dalil yang menegah dalam bab sembelihan Qurban.

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

QURBAN DI LUAR KAWASAN
  • Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling.
  • Namun, diHARUSKAN mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam kawasan atau mereka yang di luar.
  • Pun begitu, ulama Mazhab Shafi’e TIDAK MEMBENARKAN dipindah keluar kawasan jika di dalam masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan maslahat sebenar dari udhiyyah. bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang lain melaksanakan qurban itu sudah menyebabkan kita terluput dari melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah TIDAK PERNAH mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain. Malah sewaktu hari raya Qurban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan dari ibadah Qurban kecuali hanya seolah menyedeqahkan wang sahaja, sepatuttnya Qurban MELEBIHI DARI hanya sekadar sedeqah wang dan makanan, ia adalah suatu ibadah khas menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.
GABUNG QURBAN DAN AQIQAH
  • Mazhab Syafi’e, Maliki & Pandangan Ahmad : Tidak boleh kerana maksud keduanya berbeza. Qurban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar Allah, manakala aqiqah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie :
وَظَاهِرُ كَلَامِ َالْأَصْحَابِ أَنَّهُ لَوْ نَوَى بِشَاةٍ الْأُضْحِيَّةَ وَالْعَقِيقَةَ لَمْ تَحْصُلْ وَاحِدَةٌ مِنْهُمَا ، وَهُوَ ظَاهِرٌ ; لِأَنَّ كُلًّا مِنْهُمَا سُنَّةٌ مَقْصُودَةٌ
          
Ertinya: Yang jelas dari perkataan ulama mazhab, iaitu jika diniatkan seekor kambing untuk qurban dan aqiqah sekaligus, TIADA DIPEROLEHI SALAH SATU ANTARA                
KEDUANYA, kerana keduanya sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu. 
  • Pun begitu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, Alhasan Basri, Ibn Sirin & Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait : Harus di gabung semua dengan niat Qurban, atau sebahagian qurban dan sebahagian aqiqah. 
  • Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai kemampuan.
 PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH DAN LAPAH SERTA JUAL DAGING QURBAN

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Ini berdasarkan sebuah hadis 
وأمرني أن لا أعطي الجازر شيئا- البخاري

Ertinya : Rasulullah mengarahkan aku agar TIDAK memberi pelapah sesuatu apa (upah) pun. ( Riwayat Al-Bukhari)
Pun begitu, boleh diberikan daging qurban sebagaimana orang lain.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.
 
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

SEMBELIH QURBAN GUNA AYAM
  • Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam Al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu.
  • Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan kesunatan Qurban dari mereka, namun jika mereka ingin sembelih ayam sebagai ganti, ia hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli daging dengan harga satu dirham dan berkata nah, inilah qurban Ibn Abbas, iaitu secara majaz. 

QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya:

"tidak boleh !"
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

BINATANG YANG DIKONGSI

a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau
Dalilnya dari hadis : 
(شرك رسول الله صلى الله عليه وسلم في حجته بين المسلمين في البقرة سبعة ( رواه أحمد. وهو قول أكثر أهل العلم
Ertinya: Rasulullah berkongsi sewaktu Hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian. (Riwayat Ahmad) 
b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama) : Kambing, kibash dan sepertinyaAdapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengHARUSkannya.
KONGSI PAHALA QURBAN

a) Ketua keluarga diHARUSkan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw.
b) Namun untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, ia tidak dilakukan oleh shabat nabi. Hanya Nabi sahaja yang berqurban dan menyatakan "ini adalah untuk ummatku yang tidak berqurban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih:
وقال: بسم الله، اللهم تقبل من محمد وآل محمد، ومن أمته

Ertinya: Nabi berkata : Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan ummatnya. 

SIAPA PATUT MULAKAN QURBAN?

Jawabnya adalah imam di sesuau tempat tersebut dan diikuti dengan orang ramai, demikian sunnah Nabi s.a.w berdasarkan hadith :

وقال ابْن عُمَرَ: إن النَّبِىّ، عليه السَّلام، كَانَ يَنْحَرُ وَيَذْبَحُ بِالْمُصَلَّى
Ertinya: Berkata Ibn Umar r.a ertinya : Nabi melaksanakan sembelihan sedang baginda berada di kawasan solatnya.
قال مالك: إنما يذبح الإمام فى المصلى لئلا يذبح أحد قبله
Ertinya: Berkata Imam Malik : Imam menyembelih di kawasan solat dan agar tiada yang menyembelih satu orang pun sebelumnya


APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah  sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".
 
Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina 
( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam
 SUMBER

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...