Terlibat dengan gerakan mahasiswa menjadikan saya membina pandangan alam yang lebih luas.
Gerakan
mahasiswa bukan saja terdedah kepada politik nasional secara langsung,
bahkan entiti ini harus mendepani cabaran-cabaran untuk terus membina
gelombang rakyat.
Bukan sekadar membaca tulisan-tulisan
'pemerhati dan penganalisa politik', gerakan mahasiswa sebaliknya hadir
terlibat secara langsung.
Pandangan 'luar ke dalam' sebenarnya sangat diperlukan memandangkan gerakan ini bukanlah gerakan yang sempurna.
Kritikan
sama ada ia membina atau menjatuhkan menjadi elemen semak imbang
gerakan. Namun amat memalukan jika pemerhati dan penganalisa politik
mempunyai maklumat yang dangkal dan menulis atas persepsi sahaja.
Menulis
biarlah didasari tradisi keilmuan, kajian dilakukan dengan turun
padang, memerhati secara langsung. Ia lebih tepat dan berkualiti.
Menjadi kewajipan mereka yang menganalisa entiti ini dengan
mengaitkannya dengan sejarah. Gerakan mahasiswa dengan latar belakang
historikal yang mencengkam sejarah negara dengan sendirinya membina
cabaran yang harus didepani gerakan mahasiswa masa kini.
Hakikatnya,
ramai orang ternanti-nanti aksi yang lebih hebat daripada demonstrasi
Baling, gerakan manifesto mahasiswa 1969 atau paling kurang mencipta
satu badan yang independen seperti University Malaya Student Union
(UMSU).
Penganalisa politik gerakan mahasiswa kebanyakannya
cenderung untuk membanding-bandingkan gerakan mahasiswa hari ini dengan
legenda sebelum mereka.
Namun kejayaan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam menerajui gelombang rakyat ini sedikit sebanyak menampakkan hasil.
Gerakan siswa sepuluh tahun terakhir
Bermula
dengan inisiatif SMM menubuhkan Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat
(GMSR) dengan kempen Anti Politik Lucah, SMM membuat Jelajah Mahasiswa
ke Seremban menaiki komuter (KTM).
Slogan seperti "mahasiwa tolak politik lucah", "tolak budaya fitnah" dan "tolak politik wang" dipamerkan kepada awam.
Bagaimanapun jelajah ini berakhir dengan tangkapan lapan orang mahasiswa di KL Sentral oleh pihak polis.
Di bawah GMSR, kempen Sokong Media Alternatif dibentuk. Kempen ini
melibatkan semua media alternatif utama dengan tujuan untuk mengalihkan
sumber maklumat masyarakat daripada bergantung kepada media arus perdana
semata-mata.
GMSR kemudiannya melancarkan kempen anti- Lynas.
GMSR menyatakan bantahan terhadap pembinaan kilang oleh Lynas
bersama-sama gerakan seperti STOP LYNAS, BADAR dan NGO lain yang turut
membantah.
Aktivis-aktivis gerakan mahasiswa, turun padang
bersama-sama rakyat di Gebeng, Kuantan, berbincang dengan pemimpin
rakyat di sana, membuat kajian respon rakyat, mengadakan pencerahan,
ceramah, edaran risalah dan lain-lain.
SMM memacu lebih k
ehadapan dengan menubuhkan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)
susulan daripada beberapa isu sekatan yang dibuat kepada ahli akademik
dan mahasiswa termasuklah isu Dr Abdul Aziz Bari, bekas pensyarah di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pelancaran BEBAS
pada 22 November lalu menyaksikan rentetan aksi yang lebih agresif
daripada mahasiswa. Usaha pencerahan seperti perbincangan, memorandum,
meja bulat, forum, wacana, ceramah, diskusi, edaran risalah dan debat
digiatkan menjelang Himpunan Kebebasan Akademik pada 17 Disember 2011.
Flash Mob BEBAS
pada 27 November dengan tujuan pencerahan kepada masyarakat awam
berkenaan kebebasan akademik akhirnya menjadi kecoh apabila lebih 17
orang mahasiswa ditangkap di KL Sentral.
Aktiviti kemuncak
BEBAS, himpunan menuntut Kebebasan Akademik berjalan dengan aman tanpa
sekatan polis. Seramai 300 mahasiswa turun ke jalanan membawa sepanduk
dan kain rentang menuntut kebebasan akademik.
Kami berarak
daripada Masjid Jamek hingga ke Sogo, berpidato, kemudian kembali
berarak menuju ke PWTC. Di sinilah tercetusnya sejarah baru gerakan
mahasiswa yang mencetuskan gelombang besar.
Adam Adli, mahasiswa
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di dalam himpunan di PWTC
bertindak menurunkan bendera memaparka wajah Datuk Seri Najib Razak
dengan tujuan menaikkan bendera BEBAS.

Tindakan ini kemudiannya
mendapat reaksi pelbagai pihak, tersebar di media arus perdana yang
kemudiannya dibaca oleh masyarakat di seluruh negara. Tindakan ini
dikecam hebat oleh ahli Umno dalam kenyataan mereka, video rakaman yang
disebar di Youtube, laman-laman sosial Facebook dan Twitter.
Tidak
kurang hebatnya, tindakan Adam Adli mendapat sokongan parti politik
Pakatan Rakyat, mahasiswa-mahasiswa, pensyarah dan NGO yang menunjukkan
solidariti dan sokongan.
Peristiwa ini mencetuskan gelombang
baru apabila nama SMM mula dikenali oleh masyarakat di pelbagai
peringkat. Bermula dengan peristiwa 'turun bendera' ini, SMM berpeluang
menjelajah seluruh negara memberi pencerahan kepada masyarakat.
SMM
yang diterajui nama-nama figura anak muda seperti Ahmad Syukri Abd
Razab (pengerusi SMM), Safwan Anang (pengerusi BEBAS), Syahid Zaini(YDP
MPMUM), Adam Adli (Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif) dan
aktivis-aktivis lain turun ke Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu,
Pahang, Sabah dan seluruh Lembah Klang.
Kesan daripada tindakan menurunkan bendera, Adam Adli dijatuhkan hukuman tatatertib, digantung tiga semester.

Rentetan
daripada ini, SMM membuat keputusan untuk membuat himpunan di hadapan
UPSI menuntut supaya universiti itu menarik semula hukuman.
Tanggal
31 Disember, malam tahun baru, menyaksikan tragedi berdarah UPSI.
Safwan Anang, pengerusi BEBAS cedera dibelasah oleh polis dengan
ditendang di perut dan ditumbuk di mulut.
Ammar Ismail, aktivis
mahasiswa daripada Universiti Malaya turut tercedera di kepala akibat
terkena cermin pintu ketika pergelutan di Klinik swasta berdekatan UPSI.
Seramai 21 aktivis mahasiswa ditangkap termasuklah majoriti
besar tokoh SMM dalam Ops-Solidariti yang dilakukan oleh pihak Polis.
Peristiwa ini memberi kesan besar kepada gerakan mahasiswa. Kebangkitan rakyat yang menyokong gerakan anak muda mula bersinar.
Usaha
yang mengambil proses yang lama sedikit sebanyak memberi kesan dalam
proses sosialisasi politik rakyat. Usaha ini silih berganti, memenuhi
hari dan minggu tanpa henti.
Selepas kontroversi tragedi
berdarah UPSI, isu PTPTN mengambil tempat. Setelah lebih dua bulan
menyelesaikan isu-isu sekitar Tragedi Berdarah UPSI dengan tumpuan
kepada memberi pencerahan berkenaan isu ini, SMM kembali mengatur
perancangan baru.
Konsekuensi kepada BEBAS adalah gerakan
Malaysia Bangkit yang merupakan gerakan gabungan anak muda yang membawa 9
tuntutan ke arah Malaysia yang lebih sejahtera.
Umumnya,
gerakan ini merupakan gerakan yang lebih bersifat perjuangan kolektif
dengan membawa isu-isu seperti hentikan rasuah, pilihanraya bersih,
mansuhkan ISA dan AUKU, media yang bebas dan lain-lain termasuklah
tuntut penghapusan PTPTN.
Isu PTPTN yang menjadi isu yang lebih dekat dengan kebanyakan rakyat ketika itu diangkat menjadi
prime-issue Malaysia Bangkit. Isu ini juga hangat diperdebatkan di pentas politik, ahli akademik dan masyarakat awam.
Selepas
pelbagai perbincangan dan rundingan meja bulat, SMM akhirnya membuat
keputusan untuk mengadakan himpunan menuntut mansuh PTPTN.
Pada
14 April 2012, lebih kurang 1000 peserta himpunan hadir yang terdiri
daripada pelbagai latarbelakang berhimpun di Masjid Jamek, berarak ke
Sogo dan berakhir di Dataran Merdeka.
Bermula 14 April, SMM
kemudiannya meneruskan bantahan dengan perkhemahan 14 hari di Dataran
Merdeka yang mendapat perhatian ramai pihak.
Sumbangan yang
bertalu-talu di tapak perkhemahan oleh orang ramai, ceramah, diskusi dan
wacana memeriahkan perkhemahan hingga peristiwa kemuncak 28 April,
Bersih 3.0.
Penubuhan gerakan-gerakan yang bervariasi oleh SMM
tidak harus dilabel sebagai tidak konsisten, namun ia konsekuensi dalam
usaha memperjuangkan suara rakyat secara kolektif.
Mencatat
peristiwa-peristiwa secara teks ini sesuatu yang mudah. Tetapi
membacanya dengan konteks adalah sesuatu yang tidak mudah.
Saya
tinggalkan catatan ini sebagai teks sejarah dan ulasan sebagai bacaan
konteks sejarah. Moga-moga ia menjadi sumber maklumat para pemerhati dan
penganalisa politik gerakan mahasiswa di luar sana dan juga sebagai
rujukan generasi akan datang.
Kebijakan aksi jadi tumpuan
Berdiri di pentas nasional sama seperti menjadi aktor politik. Bukan
semata-mata dalam lingkungan ahli politik dan politik kepartian, jauh
daripada itu SMM hakikatnya menerajui gerakan masyarakat sivil dalam
ruang awam.
Dalam hal ini, tentulah segala aksi, kenyataan respon atau apa saja keputusan yang dibuat oleh SMM menjadi tumpuan masyarakat.
Hal
ini merupakan cabaran buat entiti ini untuk mempamerkan segala
kebijakan politik yang bebas, substansial, intelek dan tepat.
Kesalahan-kesalahan dalam ijtihad dan aksi menjadi tumpuan khususnya buat golongan yang antigerakan mahasiswa vokal sebegini.
Dalam menerajui gerakan, tindakan-tindakan seperti turun bendera,
kalungan bunga dan adab dalam demonstrasi menjadi perhatian perdana.
Secara
tidak sedar, isu sebegini mengalih tumpuan masyarakat kepada tuntutan
yang lebih utama. Kepimpinan dan aktivis gerakan mahasiswa perlu lebih
berhati-hati menangani isu sebegini.
Ibarat menarik rambut di
dalam tepung, isu-isu sebegini perlukan kebijakan strategi politik. Saya
tidak nafikan kadangkala isu-isu kecil seperti adab dalam himpunan
dianggap remeh oleh kepimpinan gerakan mahasiswa.
Berhati-hati
dalam ini juga harus diteliti supaya ia tidak menjadi lubuk serangan
musuh. Slogan-slogan yang tidak munasabah, yang tidak menggambarkan
matlamat himpunan dan yang bertentangan dengan nilai-nilai moral harus
dibuang.
(Saya sangat tidak suka slogan "Hancur Rosmah" digunakan kerana ia tidak ada kena mengena pun dengan matlamat himpunan.)
Kepelbagaian dalam gerakan Peningkatan sokongan dan penyertaan terhadap SMM membuka suatu ruang baru kepada penyertaan aktivis-aktivis di dalam SMM.
Kalau dahulu SMM hanya didominasi oleh aktivis mahasiswa dari Universiti Malaya, atau mereka yang berlatarbelakangkan
islamic student movement (GMI), kini SMM makin berkembang.
Perkembangan
ini dengan sendiri mencipta cabaran yang besar seperti juga
perkembangan yang dialami oleh Islam dahulu. Ideologi dan latar belakang
yang pelbagai mungkin merupakan suatu peluang besar buat SMM dalam
mewacanakan gerakan.
Namun apa yang harus menjadi tanggungjawab
SMM ialah untuk mengekalkan prinsip tradisi gerakan mahasiswa iaitu
intelektualisme, idealisme dan aktivisme.
Apa yang saya risaukan partisipasi dalam perjuangan SMM hanya didasari oleh semangat bukan dengan ilmu yang mendalam.
Aktivis-aktivis
perlu didedahkan kepada latihan-latihan pembangunan untuk aktivis yang
memberi pencerahan berkenaan apa itu perjuangan gerakan mahasiswa agar
kita tidak dilihat tergelincir dari matlamat yang sebenar.
Kepada aktivis gerakan mahasiswa, hakikatnya proses memahamkan
masyarakat mengambil masa yang panjang. Iklim politik, ekonomi dan
sosial yang mencipta cabaran yang lebih besar meletakkan suatu keperluan
kepada SMM untuk menjadi gerakan yang lebih dinamik.
Kebijakan aksi, elemen intelektual, keberanian melawan kezaliman, pasakan kefahaman kepada aktivis perlu diberi perhatian.
Kepada
para pemerhati dan penganalisa politik SMM, gerakan ini harus dikaji
secara menyeluruh. Sisi negatif atau positif dalam kritikan itu hanya
hadir sebagai
outcome kepada kajian dan observasi yang bijaksana.
Oleh :
Masturah Abu Bakar