Pages

Sunday, 9 December 2012

ZAMAN BERLAGAK PEMUDA UMNO SUDAH BERAKHIR

PEMUDA PAS LEBIH DI TERIMA
Selaku bekas pimpinan pelajar, ucapan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mengatakan kejayaan kumpulan Pro Aspirasi dalam pilihan raya kampus menandakan sokongan orang muda kepada Umno Barisan Nasional agak sukar juga untuk diterima, walaupun ada sedikit fakta.
Sesiapapun yang mempunyai pengalaman memimpin persatuan mahasiswa, pilihan raya kampus bukanlah medan sebenar untuk menguji kekuatan sesebuah parti politik.  
 
Pilihan raya kampus adalah tempat latihan kepimpinan pelajar. Itu pun mereka dikawal oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak untuk menyuarakan sokongan terhadap sesebuah parti politik, terutamanya pembangkang. Tindakan akan dikenakan. Bermakna, jika pelajar diam, tidak bermakna mereka menyokong Umno Barisan Nasional.

Selain itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) belum tentu dapat mengawal ratusan persatuan lain yang bernaung di bawahnya. Persatuan-persatuan ini kadangkala lebih berpengaruh daripada MPP.
Memang tidak dinafikan ada pengaruh parti politik luar seperti Umno dan Pas. Misalnya, Persatuan Mahasiswa Islam (Pengajian Islam), pro Pas. Manakala, Persatuan Mahasiswa (Sastera) pro Umno. Begitu juga dengan persatuan lain yang bersifat lebih ‘lokal’ seperti persatuan fakulti, jabatan, bahasa, anak negeri dan sebagainya. Pada saya, persatuan-persatuan ini sepatutnya yang didekati kerana ia bersifat dalaman, ada sentuhan hati (kefalkutian atau kenegerian) atau down-to-earth.

Namun, seperti saya sebut, menguasai MPP, bukanlah petanda sebenar menguji kekuatan parti. Pengaruh kampus tidaklah sehebat pengaruh ibu bapa dan sekolah yang mendidik mereka sejak kecil. Mereka sudah ada pendirian apabila masuk ke kampus kerana telah dewasa.

Jika ingin memenangi hati mahasiswa, kita hendaklah mulakan dengan memenangi hati ibu bapa atau keluarga pelajar. Begitu juga dengan guru-guru di sekolah. Bukti-bukti menunjukkan anak-anak lebih terpengaruh dengan apa yang berlaku dalam keluarga dan sekolah mereka. Biasanya, ibu bapa (guru) pro Umno (Pas), anak-anak (murid) biasanya sebegitu, walaupun tidak dinafikan sebaliknya ada berlaku.

Sebab itu, kadangkala persepsi atau tindakan pelajar tersebut berubah apabila keluar dari alam kampus. Kerana apa? Saya mohon pemuda Umno mencari jawapannya. Ramai kawan saya dulunya Umno semasa kampus telah menjadi Pas, sebaliknya, Pas menjadi Umno, tetapi tidak ramai. Pelajar Cina usahlah dicerita, kerana sebahagian besarnya ultra kiasu.

Jika pemuda Umno mahu juga masuk ke kampus dan mencari kekuatan sebagai langkah tambahan, apa yang perlu dilakukan ialah untuk memenangi hati mahasiswa (rakyat). Turun ke padang. Dekati mahasiswa dengan ilmu penuh di dada dan akhlak memikat.
Kadangkala apabila berceramah kita sekadar melaungkan hidup Melayu, hidup Umno. Terlalu dogmatik. Pengisian rohani kurang. Jiwa pelajar menjadi kosong. Inilah juga ingatan saya kepada Biro Tata Negara (BTN). Justeru, saya puji bila BTN mula menerbitkan bahan-bahan bersifat ilmiah daripada cendekiawan dan ilmuwan tersohor.

Kedua, Pemuda Umno hendaklah mengurangkan program berhibur dan jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Banyakkan program yang dapat memenuhi keperluan jasmani dan rohani. Sudah sampai masa kita memikirkan untuk melahirkan leader of character, yang menjadi tagline Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Saya akan huraikan dalam artikel akan datang.

Ingatlah, kekuatan pemuda terletak kepada kekuatan akhlak, minda dan strategi mereka. Zaman berlagak dengan kekayaan sudah berakhir. Zaman ini adalah zaman untuk bekerja membangun umat Islam dan parti.

Kenapa hari ini Pemuda Pas lebih mendapat tempat? Kerana orang Pas boleh dikatakan ‘serba boleh’ dan down-to-earth. Walaupun mereka berlatar belakangkan profesional; ceramah mereka berisi, mereka boleh jadi imam, bacaan al-Quran mereka mantap dan berbagai lagi kelebihan.

Contoh, bekas pemimpin Pas atau Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali. Beliau adalah bidang perancang bandar, tetapi motivator yang baik, bercakap dengan sandaran al-Quran dan hadis. Boleh jadi khatib, imam dan sebagainya. Ciri-ciri inilah yang perlu ada pada Pemuda Umno.

Jangan terlalu berlagak dengan ijazah Oxford dan Cambridge. Universiti ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Begitu juga sifat ghairah untuk menjadi pemimpin bagi mengaut projek-projek kerajaan.

Zaman seperti ini sudah berakhir, rakyat sudah mula buka mata. Jika kita masih tidak sedar, pasti kita akan hancur.

Oleh : RIDHUAN TEE ABDULLAH

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...