Pages

Wednesday, 12 December 2012

UMNO BERKERJASAMA MCA TERGADAI JUGA ISLAMNYA

TAHALUF SIYASI
Media perdana dikuasai Umno-BN didapati terus menerus menyerang PAS di dalam isu hubungan PAS dengan DAP hanya dengan satu tujuan agar hubungan tersebut menjadi retak menunggu belah. Serangan tersebut sehinggalah menyeret batang tubuh Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan desakan agar Tuan Guru digantikan.

Media tersebut sengaja hendak mencipta angin ribut di tengah gelanggang yang aman dan tenteram.

Umno seolah-olah begitu dengki dan irihati melihat perpaduan kukuh seluruh ahli Pas di bawah karisma dan aura Tuan Guru Nik Aziz.

Ini adalah satu permainan murahan akhbar Utusan Malaysia yang tidak pernah serik biarpun berpuluh juta ringgit denda pernah diputuskan oleh mahkamah dalam pelbagai kes laporan berunsur fitnah ke atas pemimpin Pas.

Mainan media Umno itu seperti sebelumnya juga dijangka gagal menggugat Pakatan Rakyat sebaliknya ia hanyalah taktik mengalih isu kelemahan belanjawan 2013 Najib yang tempang.

Bagaimanapun pastinya para pendokong bawahan kesal kerana masih wujud sikap pemimpin tertentu di dalam jemaah yang masih memberi ruang kepada musuh untuk memporak-perandakan jemaah.

Penulis berasa sayu dengan teguran berhemah oleh Naib Presiden Pas, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap pemimpin dalam jemaah yang tidak mahu membantu memperkukuhkan jemaah tetapi janganlah pula sehingga memperlemahkan jemaah. Ibarat di dalam gotong royong mengusung rumah , jika tidak mahu bersama mengusung janganlah pula bergayut di rasuk rumah itu, tegas Ustaz Tuan Ibrahim dengan nada kesal.

Kerjasama politik di dalam Pakatan Rakyat termasuk bersama DAP adalah keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pas Pusat dan mendapat kelulusan Majlis Syura dan Dewan Ulamak Pas Pusat.

Dimanakah seeqah dan bai’ah seseorang ahli apalagi pemimpin jemaah ini dan apalagi jika ia juga berada di dalam barisan kepimpinan salah satu majlis tertinggi tersebut, tidak dapat mematuhi keputusan tersebut. Ia adalah suatu yang malang buat parti.

Keputusan yang diistilahkan sebagai Tahaluf Siyasi itu juga dirujuk kepada ulamak antarabangsa yang terlibat di dalam Gerakan Islam. Antaranya Prof. Dr. Yusof Qardawi yang merupakan ulama kontemporari dan tersohor merestui pendekatan politik semasa yang diambil oleh PAS.

Kerjasama dengan bukan Islam untuk menegakkan Islam bukanlah perkara baru , malah telah ditunjukkan oleh baginda nabi s.a.w.

Abdullah bin ‘Urayqit seorang bukan Islam yang diambil oleh Baginda Rasulullah s.a.w. sebagai penunjuk arah di dalam program hijratulrasul nya adalah secebis teladan mahsyur untuk pengiktibaran kita yang hidup di dalam kondisi kemajmukan ini.

Malang di negara kita golongan assobiyah atau yang seumpamanya mengkritik dan memprovokasi dasar terbuka Islam terhadap bukan Islam dengan tohmahan bahawa Islam telah tergadai. Golongan ini berhujah semberono tanpa ilmu yang mantap dan luas.

Sedangkan golongan inilah yang telah lama berkuasa namun Islam hanya tinggal sebagai nama kerana gagal menjulang Islam di dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Mereka menyembunyikan Islam dan merekalah sebenarnya yang telah menggadaikan Islam sekian lama. Mengelak peluang yang terbuka bersama bukan Islam demi menjatuhkan sebuah rejim yang zalim pastinya satu tindakan yang tidak cerdik.

Tahaluf Siyasi bukan dasar atau matlamat. Ia hanya strategi dan taktik semata-mata di dalam ruang lingkup sistem demokrasi yang disertai oleh Pas. Strategi boleh berubah mengikut masa dan suasana.

Isu murtad yang didamba oleh sesetengah pemimpin adalah isu lama, selama pemerintahan Umno-BN. Ia bukan isu setelah PAS menyertai Pakatan Rakyat.

Murtad adalah bala’ Allah yang diturunkan kerana keengkaran umat Islam sendiri di dalam melaksanakan hukum-hukum Allah.

Sebaliknya, kalangan bukan Islam dilihat semakin mesra dengan Islam setelah Pas membuka pintu Islamnya yang telah ditutup oleh Umno sekian lama.

Memang parti Islam ini tidak pernah rugi sejak memegang Tahaluf Siyasi ini. Kita dapati medan dakwah semakin terbuka luas, terutama di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Ini kerana tempat-tempat awam dibenarkan untuk menjadi medan dakwah atau menyampaikan isu-isu semasa samada politik dan sebagainya.

Memang terdapat perbezaan antara negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat dengan negeri di bawah Barisan Nasional yang didominasi Umno dari segi kemeriahan kuliah-kuliah agama.

Selangor terutamanya, masjid-masjid dan surau-surau telah kembali hidup kerana kurang halangan birokrasi. Begitu juga di Pulau Pinang dan lain-lain. Ini tidak lain adalah momentum gelombang kesedaran Islam yang digerakkan oleh Pas melalui kesedaran politik.

Rakyat terutama orang Melayu ingin mendalami agama dan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Kebaikan Islam ini sudah tentulah tertempias kepada rakan-rakan bukan Islam. Inilah yang membimbangkan Umno.

Sambutan terhadap kuliah agama seperti apa yang digelar sebagai fenomena Ustaz Azhar Idrus pasti tidak wajud sepanjang era pemerintahan Umno yang berkawan dengan bukan Islam dari MCA dan MIC, biarpun Umno pernah mencanangkan penerapan nilai-nilai Islam dan Islam Hadhari.

Oleh sebab itu kita lihat sekarang pelbagai latarbelakang menyertai Pas termasuk dari kalangan artis, bekas-bekas pegawai awam serta golongan profesional. Semuanya ingin membuat perubahan berlaku di dalam negara ini di atas nama Islam yang dibawa oleh Pas.

Golongan yang terlibat secara langsung dengan masyarakat ini sudah muak dengan realiti kehidupan masyarakat dan negara hari ini yang penuh ketempangan dan caca-merba kerana dasar pragmatis dan sekular yang diamalkan oleh Umno-BN.

Ribuan bukan Islam yang menyertai Dewan Himpunan Penyokong Pas di seluruh negara membuktikan Islam tidak tergadai sebaliknya ia menggambarkan pelbagai kaum telah mula memahami dasar Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Kini, kalangan bukan Islam baik dari keturunan Cina, India, Kadazan maupun Murut sudah memahami bahawa masuk Islam tidak bermaksud masuk Melayu. Mereka telah memahami bahawa Islam adalah agama sejagat dari Tuhan untuk seluruh manusia di atas muka bumi ini. Islam bukan hak eksklusif orang Melayu. Inilah yang tidak diajar oleh Umno atau mereka sengaja menyembunyikannya.

Dakwah gagal disebarkan secara meluas dan berkesan samada ke atas orang Melayu Islam apalagi ke atas orang bukan Islam kerana dasar Umno berkaitan Islam adalah bersifat tertutup.

Ini berbeza di era Pakatan Rakyat sekarang hasil pendekatan terbuka melalui Tahaluf Siyasi, PAS mendominasi medan dakwah Islamiah yang terbuka luas.

Medan dakwah ini menjadi terbuka hasil kesepakan PAS, PKR dan DAP di dalam Pakatan rakyat walaupun ketiga-tiga parti siasah ini berbeza dasar, idealogi dan matlamat.

Ternyata perbezaan tersebut tidak menjadi tembok penghalang kepada ketiga-tiga komponen parti siasah tersebut kerana di sana terdapat persamaan yang nyata iaitu matlamat menamatkan riwayat pemerintahan Umno-BN yang sudah tidak relevan lagi menerajui negara ini.

Matlamat bersama ini begitu jelas kerana begitu banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Umno-BN dan rejim ini mesti ditamatkan segera agar seluruh rakyat segera mendapat keadilan dan kesejahteraan.

Tahaluf Siyasi memperlihatkan dasar dan landasan perjuangan Pas tidak berubah tetapi yang berubah ialah uslub atau pendekatan. Demikian ditegaskan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Kenapa sesetengah pemimpin tiba-tiba menjadi cetek ilmu di dalam berdakwah. Bukankah di sana terdapat prinsip-prinsip yang digariskan di dalam bertoleransi dengan non-muslim.

Islam adalah agama fitrah. Bermakna ia sesuai untuk semua manusia. Tetapi Islam tidak memaksa seseorang untuk memeluk Islam. Demikianlah indahnya Islam. Dengan prinsip ini Islam tidak akan tergadai.

Allah lebih mengetahui dari kita bahawa di negara ini akan wujud masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk tiada masalah untuk terima Islam jika umat Islam sendiri mengamalkan Islam yang sebenar dan menunjuk contoh yang terbaik
Malangnya Umno ternyata menjadi musuh kepada dakwah dengan mengadu-domba perbezaan ideologi ke tiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat tersebut.

Malangnya juga ada segelintir pemimpin yang sudah berada selesa di puncak jaya di dalam harakah perjuangan Islam tiba-tiba turut terpengaruh dengan agenda pihak musuh yang sekian lama mengekang gerakan Islam.

Menghairankan, musuh yang sedang nazak dan cemas dengan pelbagai talian hayat itu tiba-tiba mendapat simpati dari segelintir pemimpin tersebut setelah mereka pandai berbicara tentang Islam dan aqidah, tetapi mengabaikannya selama lebih 50 tahun. Demikianlah stail perjuangan golongan nasionalis, pragmatis dan sekular yang hakikatnya sentiasa bermusuh dengan Islam.

Sekali lagi lagi ditegaskan, melalui belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Najib Razak baru-baru ini jelas menggambarkan kerajaan pusat diterajui Umno-BN gagal mengurus ekonomi negara apabila berlaku defisit 16 tahun berturut-turut.

Punca utama kegagalan seperti laporan pengkaji antarabangsa ialah rasuah , ketirisan dan skandal. Akibatnya rakyat menanggung sengsara dengan kenaikan kos sara hidup dan membawa kepada kepincangan sosial yang parah.

Tiada strategi Najib untuk mengatasi kepincangan tersebut, sebaliknya menabur wang iaitu one-off kepada sasaran-sasaran pengundinya demi meneruskan kuasa Umno-BN di Putrajaya.

Sebaliknya rakyat semakin cerdik dan membuat perbandingan dengan tawaran belanjawan Pakatan Rakyat yang lebih bertanggungjawab demi kesejahteraan hidup rakyat dan keharmonian dalam negara ini.

Justeru media penjilatnya tiada jalan lain melainkan berhempas pulas mencari isu seperti isu hubungan Pas dan DAP ini untuk menghancurkan Pakatan Rakyat dan menutup isu kegagalan pengurusan ekonomi negara di bawah Umno-BN.
SUMBER

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...