KEMANA PAS LEPAS MUKTAMAR
Soalan yang diajukan
oleh para penganalisis sejurus selesai Muktamar ialah “ke mana Pas
lepas Muktamar?’’ Bagi para analisis, soalan ini menuntut jawapan
bagaimana Pas dapat meletakkan dirinya dalam lanskap politik pasca PRU
ke 13 yang semakin hampir.

Petunjuk penting ialah bagaimana
Pas dapat menguasai kerusi yang dipertandingkan kerana itu akan
mengimbas sokongan orang ramai kepadanya dan sekaligus menentukan nasib
dan potensi kewujudannya di persada politik tanahair.
Akar umbi PAS
Muktamar
bagi pengamat politik adalah sumber penting bagi menilai arah tuju
parti melalui ucapan para perwakilan yang membentuk satu mesej atau
desakan mewakili hasrat akar umbi parti. Begitu juga dengan
kepelbagaian pandangan dari perwakilan, ianya boleh ditafsir sebagai
simpang siur pemikiran yang berlegar dalam parti membentuk dinamika
sesebuah organisasi politik. Akar umbi penting bagi parti yang
berasaskan ideologi seperti Pas kerana mereka adalah pendokong setia
yang menggerakkan aktiviti parti. Pemimpin akan terus terdesak untuk
memenuhi kehendak akarumbi bagi menggambarkan kesetiaan kepimpinan
kepada dasar dan perjuangan parti. Dari aspek ini penganalisa boleh
melihat hubungan pemimpin dan akar umbi yang diikat dengan ideologi
parti yang begitu mendasar sifatnya. Dalam hal ini tidak diragui oleh
sesiapa pun bahawa PAS masih mendahului dari sudut akar umbi yang setia
pada kepimpinannya selagimana mereka masih setia dengan perjuangan
Islam.
Konservatif dan reformis
Mana-mana
parti politik akan terdedah kepada faktor tarik dan tolak antara
menjadi kelompok konservatif atau reformis dalam parti. Antara kedua
kelompok itu yang paling hangit akan menjadi Radikal dalam
mempertahankan dasar dan pada suatu hujung pula akan menjadi Liberal
dalam menafsirkan keperluan semasa parti. Pertembungan kelompok ini akan
terserlah melalui hujahan perwakilan mempertahankan dasar-dasar parti
dalam melaksanakan keperluan strateginya. Apa yang dianggap Liberal
atau Radikal terpulang kepada bagaimana kepimpinan PAS menguruskan dan
menentukan di atas garisan apakah para perwakilan perlu berada. Ia
tidak akan berlaku tanpa penetapan tegas kepimpinan di manakah
peringkat PAS pada tahap ini dari sudut keupayaan organisasinya dan
kemampuannya untuk mencapai strategi politiknya.
Suasana politik negara
Tidak
dapat dinafikan parti politik berusaha untuk mendapatkan kuasa dan
untuk tujuan tersebut mereka terpaksa bersaing melalui proses demokrasi
berpilihanraya. Di Malaysia persaingan merebut kuasa politik banyak
bergantung kepada strategi berpakat dengan parti-parti lain yang di
mana pola perkauman membentuk karakteristik penting politk negara. Pas
tidak dapat lari dari keperluan strategi ini lantas pendekatan politik
pakatannya terus menjadi perbahasan utama para perwakilan.Di sini juga
perbahasan menarik mendedahkan kebimbangan perwakilan kepada kepimpinan
parti antara memenuhi kehendak strategi Pakatan dan mengekalkan dasar
parti. Perwakilan bimbang dalam keghairahan PAS bersama rakan-rakan
strategiknya ia terpaksa tunduk kepada kehendak dasar Pakatan lalu
mencairkan pegangannya selama ini khususnya tentang Hudud, Negara Islam
dll. Muktamar baru-baru ini kelihatan jelas meluahkan kebimbangan ini
dan selagi kefahaman tentang konsep kenegeraan dan perundangan tidak
digarap dengan baik oleh kepimpinan PAS selagi itu polemik negara Islam
dan Hudud akan berada pada menu hidangan para perwakilan semasa dan
selepas muktamar.
Negara Islam dan hudud
Penafsiran
kepada konsep Negara Islam dan Hudud terserlah dalam ungkapan
perwakilan antara golongan tekstualist dan kontekstualist. Jurang ini
nampak meluas dengan penafsiran tekstualist menguasai muktamar.
Penafsiran tekstualist adalah fahaman literal kepada ayat-ayat Al
Quran tanpa meraikan kondisi dan konteks, manakala fahaman kontekstual
cuba memahami teks melalui kondisi semasa dan meraikan persoalan
applikasi agar perintah Al-Quran tidak menjadi fitnah. Sebagai parti
Islam, PAS tidak dapat lari dari menterjemahkan teks Al-Quran dalam
bentuk manifesto politiknya untuk meyakini orang ramai. Dalam suasana
inilah persoalan Hudud dan Negara Islam diberi sentuhan-sentuhan
fahaman yang berbagai. Adalah penting untuk diberi perhatian kepada
gaya berfikir ini kerana ia akan membentuk persepsi kepada para pengundi
yang mempunyai berbagai kecenderungan sokongannya. Apa yang ironinya
ialah, semangat strategik PAS dalam PR ialah berorientasikan
kecenderungan kontekstualist manakala semangat akar umbi jelas cenderung
kepada tekstualist dalam penafsiran ideologi Islamnya. Kedua-dua
jurang ini menuntut kepimpinan PAS melangganinya secara tegas dan
berhemah kerana jika tidak ia akan terus menimbulkan berbagai
kekeliruan kepada para pengundi yang merupakan aset terpenting PAS
menjelang PRU ke 13 nanti.
Keutamaan dipersoalkan
Kehangatan
perbahasan dalam Muktamar turut mempertikaikan persoalan keutamaan
yang perlu diberi fokus oleh parti. Persoalan keutamaan timbul dalam
memahami suasana kompleks yang terpaksa dihadapi oleh PAS dalam
mencapai strategi roadmap parti ke Putrajaya. PAS terpaksa berhadapan
dengan faktor pengundi yang berbagai segmen dan kecenderungan.
Mengadaptasi kecenderungan pengundi dengan tidak menggadaikan prinsip
parti adalah isu yang menggarisbawah perbahasan dalam soal keutamaan
parti. Contohnya, apakah soal negara Islam yang perlu ditonjolkan
ataukah manifesto good governance yang ada dalam Buku Jingga yang perlu
ditekankan. Contoh lagi, apakah perbezaan pandangan antara parti PR
yang perlu dibahas ataukah menumpukan kepada kepincangan Umno dan BN?
begitu juga dalam persoalan dasar PR, apakah menumpukan soal perjanjian
bersama yang perlu diperkukohkan ataukah berbincang tentang Hudud dan
perlaksanannya yang perlu diutamakan? Sebenarnya perbahasan isu
keutamaan adalah mesej kebimbangan perwakilan PAS antara risiko hilang
undi Melayu dan mengekalkan undi bukan Melayu.
Kepimpinan ulamak
Kepimpinan
Ulamak dilihat sebagai peneraju utama kepada kejayaan yang dikecapi
hari ini. Perwakilan turut menegaskan sokongan padu supaya gagasan itu
berterusan. Seolah-olah ada pertikaian tentang kepimpinan ulamak,
seluruh muktamar secara konsensus mempertahankan kesinambungan
kepimpinan ulamak. Bagi para penganalisis gagasan kepimpinan ulamak
menjadi sebahagian daripada kayu pengukur kepada potensi PAS untuk
menjayakan misinya ke Putrajaya bersama rakan-rakannya. Sejak tahun
1982, kepimpinan ulamak adalah cetusan daripada proses transformasi PAS
yang berusaha keluar dari krisis semasa kepimpinan Datok Asri Hj Muda
dan nama kepimpinan ulamak adalah kerana wujudnya satu badan tertinggi
parti yang dianggotai keahliannya oleh para ulamak yang dinamakan
sebagai Majlis Syura Ulamak. Gagasan itu penting bagi membawa parti ke
tahap baru dan memulihkan parti dari perpecahan akibat krisis yang
melanda parti waktu itu. Ia bukan sahaja transformasi tetapi berlaku
proses pembudayaan organisasi sehingga ia menjadi sebati dengan kejayaan
yang ada hari ini. Kepimpinan ulamak sifatnya adalah organisasi dan
kritikannya juga bersifat organisasi dan bukan sesuatu yang bersifat
kedudukan. Salah faham berlaku ialah apabila kritikan kepada kepimpinan
ulamak dianggap mempertikaikan keilmuan dan kedudukan seorang yang
bergelar ulamak dan tanpa disedari wujud ruang antara yang bergelar
ulamak dan yang tidak ulamak. Kritikan juga berlaku kepada aspek
pengorganisasian yang kemudiannya disalahtafsir sebagai pertikaian
kepada satu gagasan besar parti yang telah membawa kejayaan hari ini.
Apa pun keputusan yang dilahirkan secara konsensus untuk mempertahankan
keberlangsungan kepimpinan ulamak pasti akan memberi impak kepada
tercapai atau tidaknya hasrat ke Putrajaya nanti.
Sampaikah hajat PAS?
Sebelum
ini PAS cuma membawa slogan menawan beberapa negeri sahaja seperti
Kelantan, Terenganu dan Kedah tetapi kini PAS seolah-olah bersedia
untuk berada pada tahap penguasaan nasional. Ia tidak mungkin
melahirkan hasrat itu tanpa kekuatan strategi pakatan politik yang
dimetraikan dengan DAP dan PKR. Lagipun suasana dan mood rakyat untuk
berubah adalah tinggi sekaligus membuka ruang kepada PAS berada dalam
proses ini. Persoalan samada hajat PAS untuk ke Putrajaya akan tercapai
atau tidak terpulang kepada aksi imbangan yang perlu dibuat oleh PAS
antara tuntutan perwakilan yang mahukan ketegasan dasar-dasar Islam
dilaksanakan dan keperluan strategi Pakatan yang lebih pragmatik dan
akomodatif. Semua itu adalah rumusan kepada perbahasan di dalam dewan
PUTIK tempoh hari. Walaupun artikel ini tidak menjawab secara tepat ke
mana PAS selepas Muktamar tetapi sekurang-kurangnya artikel ini dapat
membantu memahami persimpangan sukar yang sedang dilalui oleh PAS.
Betapa sukarnya usaha PAS menjadi salah satu parti yang akan memerintah
di peringkat nasional kelak, namun tidak mustahil bagi PAS mencapainya
bersama kemunculan politik baru yang fajarnya sudahpun mula menyinari
negara Malaysia.
0 comments:
Post a Comment