DIVIDEN DAN BONUS LEBIH KOMPETITIF
Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengumumkan kadar dividen dan
bonus "lebih kompetitif" kepada pelabur Amanah Saham Nasional (ASN) dan
Amanah Saham Bumiputera (ASB) tidak lama lagi.

Tanpa menyebut kadar tersebut, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan
PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata pengumuman itu dijangka
memberi pulangan lebih kompetitif berbanding tahun lepas.

"Saya tidak boleh sebut peratusan keuntungan yang bakal diagihkan
kepada pelabur sehingga hari pengumuman 21 Disember ini, tetapi ia
adalah lebih kompetitif," katanya kepada pemberita selepas berucap di
majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 2012
(Kategori Universiti) di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Naib Cancelor Universiti Malaysia
Kelantan (UMK), Prof Datuk Raduan Che Rose, Timbalan Presiden Korporat
dan Antarabangsa PNB, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid dan Timbalan
Presiden Unit Amanah PNB, Datuk Idris Kechot.
Beliau berkata setiap tahun PNB membayar dividen dan bonus bernilai
hampir RM10 bilion kepada kira-kira 11.23 juta pemegang akaun dana-dana
unit amanahnya dan jumlah yang besar tersebut sudah pasti memberi impak
kepada ekonomi negara.
Hamad Kama Piah berkata tahun ini setakat November lepas, PNB telah
mengumumkan pembayaran dividen bagi tujuh dana pelaburan yang berjumlah
hampir RM2.6 bilion.
Beliau juga berkata PNB bakal memperkenalkan produk baru dalam
pengurusan pemegang saham yang meninggal dunia dinamakan Hibah, yang
akan memberi kemudahan dan alternatif perancangan harta kepada pelabur.
"Ia bakal membantu mempercepatkan proses pentadbiran harta pesaka
membabitkan dana unit-unit amanah ASNB milik mereka," katanya.
Bagaimanapun, katanya produk itu belum dapat ditentukan tarikh
pelaksanaannya kerana masih dalam peringkat kajian terutamanya dari segi
pematuhan syariah.
Dalam ucapannya sebelum itu, beliau berkata PNB kini menguruskan
sejumlah 154.22 juta bilion unit amanah milik 11.23 juta pemegang akaun.
"Dari segi nilai, kita mengurus dana lebih RM220 bilion dengan
mengambil kira dana milik pelabur dan milik PNB sendiri," katanya. -
Bernama
0 comments:
Post a Comment