SETIAP MUSLIM MESTI BERPOLITIK
Ada sebahagian orang tidak boleh
mendengar perkataan ‘politik’. Bau politik pun mereka sudah
ter’bersin’. Alergik bagi mereka. Kata mereka lagi, mereka bencikan
politik kerana politik itu kotor. Pada mereka, Islam dan politik tidak
boleh digabungkan. Dan hal politik tidak boleh dibincangkan di
masjid-masjid atau di surau-surau. Ceramah agama di masjid atau surau
mesti hanya bercerita bab ibadah sahaja. Itu kata sesetengah orang yang
cukup alah dengan politik.
Sampai begitu sekali tanggapan mereka terhadap politik.
Tepatkah pandangan begini jika kita lihat dari pandangan Islam?

Kalau kita baca sirah Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam pada era Makkah dan Madinah, nescaya kita
dapat banyak ibrah daripadanya terutama dari segi politik. Terlalu
banyak contoh bagaimana Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berpolitik di
tengah-tengah masyarakat demi kelangsungan dakwah Baginda.
Selama lebih kurang 23 tahun dakwah Nabi
itu sarat dengan politik iaitu perjuangan, muslihat dan strategi. Era
Makkah selama 13 tahun, politik dakwahnya berbeza. Era Madinah selama
10 tahun, politik dakwahnya berbeza.
Di Makkah, musuh dakwah Nabi terdiri
daripada musuh terang-terangan iaitu dari kalangan pembesar Makkah. Di
Madinah, cabarannya dari segi musuh lebih mencabar iaitu bukan sahaja
terdiri daripada pembesar yang berada di Makkah, juga dari kalangan
Yahudi di Madinah. Malah di Madinah, Nabi terpaksa berhadapan dengan
musuh dalam selimut dari kalangan Munafiq yang pada zahir mereka mengaku
Islam, tetapi di dalam hati mereka memusuhi Islam.
Bukan sahaja dari segi musuh, perbezaan
era Makkah dan Madinah juga berbeza dari segi sosial, kekuatan dari
sudut bilangan, kuasa kepimpinan dan lain-lain lagi. Ini menuntut daya kecergasan politik yang luar biasa
dari seorang lelaki yang memikul amanah wahyu yang maha suci. Bukan
sekadar untuk kelangsungan dakwah, malah untuk ia dinamik dengan suasana
dan cabaran semasa. Politik dan perjuangan dakwah tidak boleh dipisahkan.
Tidak tepat mengatakan sirah Nabi tiada unsur politik padanya. Dan tidak tepat mengatakan agama ini tidak merestui politik.
Melainkan jika seseorang membaca sirah
Nabi sebagai suatu cerita hikayat yang hanya dibaca sekadar untuk tahu
atau mengisi masa lapang. Dan melainkan jika seseorang mengatakan
bahawa Islam ini hanya terdiri daripada ritual ibadah sahaja seperti
solat, puasa, zakat dan haji. Jika begitulah cara fikirnya, maka tidak
peliklah kenapa dia tidak nampak bahawa Islam ini adalah suatu cara
kehidupan yang menyeluruh merangkumi juga politik. Dan cara fikir
begini adalah salah…!
Mudah-mudahan masyarakat kita tidak hanya
membataskan Islam ini sebagai agama ritualan sahaja seperti agama-agama
yang dipercayai oleh orang lain. Kerana Islam bukan sekadar ritualan
sahaja. Islam adalah cara hidup yang merangkumi seluruh kehidupan dari
yang paling kecil sehingga yang paling besar termasuk politik.
Oh ya, politik yang dimaksudkan di sini ialah politik dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah tauhid, mengajak manusia kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah yang mungkar. Bukan politik merebut kuasa kepimpinan negara. Dan bukan juga politik kepartian yang sempit.
Semua ummat Islam mesti berpolitik yakni
berjuang, berstrategi dan bermuslihat (jika berhadapan dengan sekatan)
dalam menegakkan kebenaran. Berpolitik adalah fitrah manusia yang
sukakan kebenaran. Ia naluri kehidupan seorang Muslim. Perjuangan
menegakkan kebenaran tidak semestinya mudah dan dengan berpolitiklah
maka seruan ALLAH `Azza wa Jalla berikut dapat dicapai:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”(Surah aali `Imran, 3:104)
Ayat tersebut mesti disahut oleh kita
semua jika benar kita mahu termasuk di kalangan al-Muflihuun, iaitu
orang-orang yang berjaya. Tidak semestinya berpolitik dengan masuk
parti politik. Boleh sahaja dengan pelbagai cara. Asal sahaja memenuhi
maksud ayat di atas dan tidak berlawanan dengan syariat Islam serta
saling tolong-menolong untuk memperolehi kebaikan dan taqwa sebagai
jalan mencapai keredhaan ALLAH Ta`ala.
Dan saya percaya gerakan-gerakan,
badan-badan dan parti-parti politik yang berpaksikan Islam semuanya
bertujuan bagi menyahut ayat di atas. Gerakan-gerakan, badan-badan dan
parti-parti politik cumalah wadah supaya ia terlaksana dengan lebih
bersistematik, berpadu dan bersama.
Selepas ini janganlah lagi ada yang
membenci politik. Benci sahaja perbuatan orang-orang busuk yang
terlibat dengan politik. Besarkan skop politik itu kepada usaha yang
lebih murni. Dan jangan tinggalkan politik. Kita sebagai Muslim mesti
berpolitik supaya kebaikan di dunia kita perolehi, kebaikan di akhirat
juga kita perolehi, amin…

0 comments:
Post a Comment