Pages

Saturday, 29 December 2012

DANA HAJI UNTUK ORANG ISLAM SABAH

JANJI PR 
Pakatan Rakyat berjanji akan menyediakan dana haji bagi setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) apabila mengambil alih pemerintahan di Sabah.
Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Lajim Ukin, berkata usaha ini merupakan satu lembaran baru dan bersejarah kepada umat Islam di Sabah yang tidak pernah diberikan oleh Umno Barisan Nasional sebelum ini.
Menurut beliau, langkah pertama berhubung dana tersebut adalah dengan menghantar 300 orang umat Islam menunaikan haji ke Mekah setiap tahun dan ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Kita ingin meningkat martabat Islam di Sabah dengan memberikan pembelaan sepenuhnya dan perkara ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional sebelum ini.

"Kita akan menyediakan dana khusus kepada umat Islam untuk mereka mengerjakan haji setiap tahun, seramai 300 orang akan dihantar ke Mekah dan mereka akan dipilih dari setiap Dun, perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri," jelas beliau ketika ditemui di pejabatnya pagi tadi.

Lajim yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) memberitahu kouta haji itu melibatkan lima orang bagi setiap Dun yang merangkumi 60 Dun di Sabah.

"Perkara ini terkandung dalam deklarasi PPPS dan telah dipersetujui oleh ketua-ketua parti komponen di dalam Pakatan Rakyat seperti PKR, PAS dan DAP.

"Pelaksanaan ini akan menjadi aktiviti tahunan kerajaan Sabah, saya pasti ia akan jadi satu kenyataan jika rakyat Sabah membuat perubahan pada pilihanraya nanti," tambah beliau.

Beliau yang percaya langkah menyediakan dana dan menghantar umat Islam menunaikan rukun Islam kelima itu dijangka mencetuskan persaingan sihat kepada pimpinan kecil beragama Islam di peringkat akar umbi.

Malah beliau juga berharap ia akan dapat memenuhi impian setiap rakyat beragama Islam yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan hasrat mereka tanpa dibebani sebarang masalah.

"Jika ini menjadi kenyataan, Pakatan bukan sahaja berjaya membentuk kerajaan negeri yang prihatin tetapi bakal menjadi mercu tanda terhadap pembangunan Islam sebagai agama rasmi di negara ini," ulas beliau lagi.

Sebelum itu, Lajim yang menjelaskan penyediaan dana haji akan menjadi agenda utama pada ucapan dasar beliau yang bertemakan "Merealisasikan Harapan Rakyat Sabah" pada masjis Pelancaran PPPS di Kota Kinabalu esok.

Majlis pelancaran itu akan turut dihadiri pemimpin utama Pakatan Rakyat, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
SUMBER 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...