Pages

Monday, 26 November 2012

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2012

UMNO JANGAN OVER CONFIDENT
Perhimpunan Agung UMNO 2012 bakal berlangsung bermula 27 November sehingga 1 Disember ini. Oleh kerana PRU13 tidak boleh dianjak lagi selepas menjelang April 2013, maka Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan yang terakhir sebelum diadakan PRU13.
UMNO ERA NAJIB BIARLAH MERAKYAT
BUKANNYA MILIK KORPORAT DAN INDIVIDU TERTENTU SAHAJA

Dalam artikata lain, Perhimpunan Agung UMNO 2013 tahun hadapan akan diadakan selepas diadakan PRU13. Persoalannya, bilakah PRU13 hendak diadakan? 
 
Mungkinkah Presiden UMNO, Dato' Sri Najib Tun Razak akan menjumpai tarikh yang sesuai untuk membubarkan parlimen sebaik sahaja melihat formasi gelombang perwakilan UMNO dari seluruh negara yang akan berhimpun di PWTC minggu depan? 
 
Sesungguhnya PRU13 merupakan satu-satunya pilihan raya umum yang sangat getir buat UMNO dan BN. Selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam PRU12 2008 yang lalu, barangkali Najib perlu lebih teliti dan berhati-hati sebelum mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat untuk mengadakan PRU13. 
 
Pada PRU12, BN bukan sahaja gagal mendapat majoriti dua pertiga malah BN telah kehilangan kuasa di lima buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak termasuk gagal untuk menawan semula Kelantan. Rakyat di lima buah negeri ini telah membuat keputusan yang mengejutkan menolak pemerintahan BN untuk digantikan dengan Pakatan Rakyat. Walaupun Perak berjaya dirampas semula, namun hakikatnya keputusan pilihan raya 2008 tidak memihak kepada BN. Wilayah Persekutuan yang memiliki 13 kerusi Parlimen, juga menyaksikan BN tewas di 10 kerusi. Kubu-kubu kuat BN WP seperti di Lembah Pantai, Titiwangsa,Wangsa Maju, Batu, Segambut dan Bandar Tun Razak turut terlepas dari genggaman.
 
Sementara itu di Negeri Sembilan pula, BN hanya berpuas hati membentuk kerajaan dengan kelebihan 4 kerusi sahaja. BN agak bernasib baik kerana Sarawak dan Sabah merupakan penyumbang terbesar yang telah menjadi 'deposit tetap' sehingga membolehkan BN terus memerintah negara dan membentuk kerajaan. 
 
Tanpa 'deposit tetap' ini rasanya jangka hayat BN akan terkubur setelah lebih daripada separuh kerusi-kerusi parlimen di semenanjung ditewaskan oleh rangkaian kombinasi PKR, PAS dan juga DAP. BN terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 140 kerusi daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. 
 
Pakatan Rakyat@Pembangkang buat julung kalinya telah berjaya menafikan dua pertiga kekuatan BN dengan meraih kemenangan bergaya 82 kerusi. Walaupun telah berlaku beberapa 'loncatan katak' keluar masuk beberapa orang Ahli Parlimen tertentu yang belot, namun ia tetap tidak mengubah kedudukan carta BN yang masih lagi gagal menguasai dua pertiga di Dewan Rakyat. Demikianlah gelombang tsunami politik yang melanda empayar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2008. 
 
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO kali ini, rasanya 2,457 delegasi UMNO daripada 191 Bahagian dari seluruh negara (Tidak termasuk Sarawak) harus memberikan tumpuan untuk memperkasakan hala tuju UMNO. Ucapan Presiden UMNO kali ini tentunya bertemakan 'Pilihan Raya' untuk dijadikan azimat sebagai persediaan menghadapi cabaran getir dalam PRU13.
 
Keazaman Anwar, Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk membungkuskan BN kali ini telah menjadikan UMNO semakin tercabar untuk mempertahankan 'gawang kuasa' daripada ditembusi oleh Pakatan Rakyat. UMNO juga telah didoakan oleh Nik Radzi Bin Nik Mat (Adik Nik Aziz) supaya ditimpa bala dan K.O dalam PRU13. Jikalau hendak melakar kejayaan kali ini, UMNO jangan meremehkan kekuatan pihak lawan, jangan 'over confident'! Kalau Pakatan Rakyat telah berjaya membuat kejutan dalam PRU12, maka kali ini UMNO/BN hendaklah memperkasakan diri dengan segala kekuatan luar biasa daripada yang biasa.

Kenapa harus kelambu UMNO hendak dibakar jika mendapati diri kita hendak digantikan dengan calon lain yang lebih 'winnable'? Bukankah lebih baik jika kita bertindak dengan lebih matang, selenggang dan sehayun mempastikan BN terus merakyat dan mekar di hati pengundi? Tidak ada maknanya jika kita berjaya mempertahankan jawatan di dalam parti, tetapi parti kita ditolak oleh rakyat akar umbi dan UMNO tidak lagi berkuasa untuk membentuk kerajaan.

Transformasi politik yang digagaskan oleh Dato' Sri Najib rasanya bukanlah suatu kaedah baru untuk mengekalkan kedudukan persada mereka yang berjawatan semata-mata, tetapi ia merupakan satu agenda besar untuk menjadikan UMNO lebih 'pragmatisme' merentasi zaman. UMNO jangan lagi dilabelkan sebagai perasuah dan pelindung rasuah. UMNO juga jangan lagi dilingkari dengan budaya fitnah dan adu domba yang mendatangkan kebencian rakyat. Jika rakyat hendak didahulukan, maka UMNO janganlah kelihatan cuba menjadikan rakyat sebagai kelas bawahan apatahlagi untuk memperdaya dan menipu rakyat.

Begitu juga jika pencapaian hendak diutamakan, biarlah tahap pencapaian itu benar-benar dirasai juga oleh rakyat marhain, bukan hanya pencapaian untuk golongan bangsawan, golongan korporat malah bukan pencapaian untuk golongan oportunis yang tidak berjiwa rakyat. Ingatlah, amalan demokrasi bukan untuk dikuasai oleh golongan ini, sebaliknya demokrasi sebenarnya adalah untuk mereka yang waras memilih bahtera yang hendak dikemudikan.

UMNO era Najib biarlah dilihat mempunyai kerangka politik yang mewakili aspirasi rakyat 1 Malaysia; bukan sahaja untuk Melayu malah masyarakat bukan Melayu juga harus merasai getarannya. Kerangka politik UMNO juga jangan terbatas hanya untuk kroni dan kelumpuk tertentu sahaja. begitu juga bukannya untuk memuaskan hati dan memenuhi cita-cita juak-juak yang dibenci rakyat. UMNO era Najib biarlah transformasinya benar-benar menjiwai rakyat, kerana rakyat jugalah tempat UMNO untuk menyambung hayatnya. Justeru, hargailah sokongan rakyat, jangan khianati mereka, janji kepada rakyat jangan sekali-kali dimungkiri, nanti UMNO akan menerima hukuman rakyat.

UMNO pasca Najib biarlah diuruskan dengan baik tanpa dibebani dengan pelbagai karenah peribadi yang boleh merosakkan hala tuju perjuangan UMNO yang sejati. UMNO adalah milik yang empunyanya, iaitu ahli dan rakyat yang menyokongnya. Perjuangan UMNO era Najib juga haruslah berpaksikan kepada slogan ciptaannya, iaitu '1MALAYSIA'.

Slogan ini bukan lagi berbentuk rasis untuk sesuatu kaum sahaja, tetapi untuk bangsa Malaysia keseluruhannya. Slogan 1Malaysia adalah janji Najib untuk kesamarataan semua kaum di negara ini. Najib bukannya Perdana Menteri kepada orang UMNO sahaja kerana ahli UMNO hanya berjumlah 3 juta orang sahaja, tetapi Najib adalah Perdana Menteri 1Malaysia, rakyat dan penduduk negara kini berjumlah 28 juta orang. Sebab itu apabila Najib berada di dalam satu majlis rasmi, beliau harus ingat bahawa dirinya bukanlah PM kepada UMNO/BN sahaja, beliau tidak sewajarnya kelihatan berdendam, membenci dan dibenci rakyat.

Kepada pejuang UMNO yang lainnya, diingatkan juga bahawa UMNO bukannya milik individu tertentu sahaja, malah UMNO juga jangan dilihat sebagai milik syarikat korporat tertentu sahaja untuk memunggah kekayaan hasil negara.  Jika UMNO menyongsang sebagai hak milik individu tertentu tanpa mendahulukan kepentingan rakyat, saya meramalkan UMNO akan ditolak oleh rakyat akhirnya.

Waspada juga dengan realiti cabaran baru yang mengancam politik UMNO/BN, iaitu pengundi bukan Melayu kini bukan lagi seperti dahulu. Kecenderungan sokongan mereka boleh menjadi penentu dan penanda aras jatuh bangunnya UMNO/BN dalam pilihan raya yang akan datang ini. MCA, MIC dan juga GERAKAN janganlah membiarkan UMNO keseorangan menghadapi kemelut ini. Rantaian kekuatan sepasukan yang ditunjukkan oleh PKR, PAS dan juga DAP untuk berhadapan dengan BN kini perlu disekat segera. SUMBER

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...