Pages

Tuesday, 29 May 2012

BELANJAWAN 2013

28 SEPTEMBER 2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Belanjawan 2013 akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September.
 Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2013 akan memberi tumpuan terhadap pertumbuhan seimbang dan berkualiti selain kebajikan rakyat.

"Hari ini saya di sini untuk mendengar pandangan dan saranan anda terhadap isu-isu yang kita hadapi.

"Dalam perundingan Belanjawan, kita menerima 84 memorandum. Cadangan anda akan ditimbangkan sebagai input untuk Belanjawan 2013," kata Najib pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2013 yang dihadiri oleh semua pemegang kepentingan, di sini hari ini.

Perdana Menteri yang mempengerusikan sesi itu, berkata tema Perundingan Belanjawan 2013 ialah Memacu Transformasi Ke Arah Negara Maju.

Najib berkata perundingan itu merupakan proses berterusan dan tidak berhenti selepas sesi hari ini, dengan perbincangan lanjut membabitkan isu-isu penting akan dijalankan menerusi kumpulan fokus yang lebih kecil.

"Majlis Konsultasi tahunan ini merupakan inisiatif Kerajaan bagi memastikan Belanjawan yang digubal mengambil kira pandangan dan penyertaan rakyat secara menyeluruh.

"Kerajaan sentiasa mengamalkan sikap terbuka untuk berinteraksi secara terus dengan sektor swasta, NGO, industri dan rakyat bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan program dibuat secara berkesan dan bersifat inklusif.

"Melalui konsultasi sebegini, Kerajaan juga dapat mengumpul maklumat dan mendapat maklum balas secara langsung daripada pelbagai pihak bagi memastikan kerajaan membuat perancangan dasar yang betul dan efektif," katanya yang menambah, setiap belanjawan mesti menyumbang dan mendekatkan Malaysia untuk merealisasikan Wawasan 2020.

"Malaysia kini dalam tahun ketiga perjalanan ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Banyak yang sudah kita capai dalam tempoh yang singkat ini. Bagaimanapun, masih banyak yang mesti dilakukan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan perlu menyediakan peluang saksama untuk pendidikan dan pekerjaan selain memastikan kualiti hidup rakyat yang lebih tinggi.

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi bagi mengukuhkan daya saing untuk bersaing dalam pasaran global.

Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa penyepaduan fiskal berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana sekitar tiga peratus menjelang 2015.

"Saya menyedari mengenai kebimbangan terhadap pengurusan fiskal kita. Kami terus komited untuk mengukuhkan kewangan awam.

"Mengekalkan momentum pertumbuhan ketika wujud cabaran luar merupakan keutamaan, namun ia akan dilakukan dengan penuh tanggungjawab," kata Perdana Menteri.

Najib berkata beberapa inisiatif sedang dilaksanakan dalam regim perbelanjaan selain usaha untuk meningkatkan kutipan perolehan.

Beliau berkata pengurusan nilai telah dilaksanakan untuk projek-projek pembangunan melebihi RM50 juta manakala belanjawan pusingan dua tahun, yang diperkenal tahun lepas, menyediakan pengurusan perbelanjaan anjal.

"Selain itum Kajian Perbelanjaan Awam dilaksanakan dengan bantuan Bank Dunia dan kerajaan bertindak atas cadangan.

Kita juga sudah membentuk jawatankuasa di Perbendaharaan untuk mengkaji isu-isu fiskal berkekalan jangka panjang," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...