Pages

Tuesday, 10 April 2012

HUKUM BEDAH MAYAT

TUJUAN FORENSIK DAN PEMBELAJARAN
 
Lembaga Ulama Besar Kerajaan Arab Saudi telah membincangkan isu ini dan bagi mereka isu ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu: 

1. Pembedahan mayat untuk tujuan forensik iaitu mencari bukti tentang perlakuan sesuatu jenayah.

2. Pembedahan mayat untuk tujuan mengesan penyakit berjangkit bagi mencari langkah-langkah yang boleh mengawasinya. 

3. Pembedahan mayat untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran.Setelah mengadakan perbincangan dan kajian mendalam dalam isu ini, majlis memutuskan sebagaimana berikut:

Bahagian yang pertama dan kedua, majlis mengharuskannya kerana mengandungi maslahat yang besar kepada lapangan keselamatan, keadilan dan penjagaan masyarakat daripada penyakit berjangkit. Kerosakan akibat pencerobohan kehormatan jenazah yang dibedah, tenggelam dalam kepentingan yang besar dan umum, yang terdapat di sebaliknya.

Dan bahagian yang ketiga, majlis telah memperakui dengan sebulat suara tentang keharusan melakukan pembedahan untuk tujuan pembelajaran. Ini memandangkan syariat yang datang dengan tujuan menghasilkan maslahat dan memperbanyakkannya dan membendung kerosakan dan mengurangkannya. Juga bertujuan melakukan salah satu daripada dua bentuk kemudaratan yang lebih ringan dengan menghilangkan kemudaratan yang lebih besar.

Tambahan pula, pembedahan yang dilakukan ke atas binatang tidak mencukupi untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran untuk pembedahan manusia. Pembedahan yang dilakukan ke atas manusia mendatangkan banyak maslahat, iaitu memajukan lapangan sains perubatan lagi.

KEPUTUSAN FATWA

Fatwa tentang bedah siasat mayat:
“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post-mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.” – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989.
Dan berhubung bedah siasat mayat yang kematiannya bukan dikategorikan sebagai kes jenayah:

“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenal pasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.” – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004.
ETIKA BEDAH SIASAT MAYAT DARI PERSPEKTIF ISLAM

1. Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.

Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka. Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” – Al-Israa’: 70.

2. Menyegerakan urusan bedah siasat mayat.

Ini selaras dengan kehendak syara’ yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Segeralah penyelesaian pengurusan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu.” – Riwayat Muslim.

3. Kebenaran Waris.

Bagi kes-kes bedah siasat klinikal (bahagian 2 dan 3 di atas), Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.

Bagi kes-kes bedah siasat medikolegal (bahagian 1 di atas), kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

4. Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar).

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Dari Aisyah r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Memecahkan/mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya/mematahkannya sewaktu hidupnya.” – Riwayat Abu Daud.

5. Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja.

Bedah siasat mayat tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh yang demikian, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenal pasti sebab-sebab kematian. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya.’

6. Menjaga aurat mayat.

Orang yang melakukan bedah siasat mayat hendaklah tidak boleh dengan sengaja melihat aurat mayat kecuali pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan dari Saidina Ali, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu nyatakan (perlihatkan) pahamu,dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati.” – Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

7.  Menjaga rahsia mayat.

Tidak mengaibkan dan tidak mendedahkan keadaan mayat kepada pihak yang tidak berkenaan.

8. Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat.

Tidak boleh menghina,mencemuh atau memaki mayat sebagaimana hadis Rasulullah SAW: “Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka.” – Riwayat At-Tirmizi.

9. Mengambil langkah-langkah keselamatan.

Langkah-langkah keselamatan perlulah diambil terutamanya dalam pengendalian mayat yang berisiko seperti dalam kes-kes penyakit berjangkit.

10. Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya.

11. Tidak mengambil tisu atau organ mayat.

12. Hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam bilik bedah siasat semasa bedah siasat dijalankan.

Oleh Hafiz Ramli - psipum.org

RUJUKAN:

1. ; Al-Syeikh Walid bin Rasyid Al-Su’aidan; Isu-Isu Fiqh Perubatan Semasa; Al-Hidayah Publication; 2007: 270-271.

2. ; Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Menurut Perspektif Islam.
http://www.islam.gov.my - Perspektif-Islam

3. ; Post-Mortem Mayat.
www.e-fatwa.gov.my - post-mortem-mayat

4. ; Hukum Bedah Siasat Ke Atas Mayat yang Bukan Dikategorikan Kematian Kerana Kes Jenayah.
www.e-fatwa.gov.my - Kes Jenayah

Sumber: http://psipum.org

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...